Berita, Isu Semasa, Uncategorized

Moratorium automatik wajar diberikan kepada B40 dan M40

Oleh Ghafar NS

Golongan B40 dan M40 perlu diberi perhatian yang khusus oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam berhadapan dengan ‘total lockdown’ bagi menangani krisis Covid-19 yang lebih serius.

Menurut Timbalan Setiausaha Agung DAP, Sivakumar a/l Varatharaju Naidu, menerusi pengumuman PEMERKASA+ yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, golongan B40 dan M40 sewajarnya menerima bantuan moratorium secara automatik kerana kedua-dua golongan ini menanggung beban yang hampir sama.

“Kenaikan kos sara hidup dan gangguan punca pendapatan menyebabkan rakyat semakin menderita akibat pandemik Covid-19.

“Golongan B40 memang jelas paling terkesan dengan keadaan yang mendesak kini, namun golongan M40 juga tidak terkecuali turut terkesan dengan kos sara hidup yang mencengkam kehidupan mereka.” Jelas ahli Parlimen Batu Gajah ini.

Menurut V.Sivakumar lagi dalam satu kenyataan media semalam, prosedur yang memerlukan golongan B40 menghubungi pihak bank, serta M40 yang perlu menampilkan bukti bahawa kehidupan mereka terjejas adalah satu prosedur rumit yang tidak efektif.

Oleh itu, tegasnya lagi, sebagai tanda keprihatinan kerajaan dan institusi-institusi kewangan, kedua-dua golongan ini wajar mendapat moratorium secara automatik yang lebih praktikal dan pastinya memberi impak dalam kehidupan mereka. – Roketkini.com