Berita

Komited bantu pelajar peroleh peranti untuk pembelajaran

Oleh B. Suffian

Pendidikan adalah asas pembangunan negara. 

Sebab itu, wakil-wakil rakyat DAP terus ke hadapan dalam usaha membantu pelajar yang memerlukan bagi melancarkan pembelajaran mereka. 

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim telah menyumbangkan laptop kepada salah seorang daripada empat pelajar di Ketereh, Kelantan, yang dilaporkan sebelum ini mengalami kesukaran mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kerana ketiadaan peranti dan capaian internet. 

Sumbangan itu diusahakan Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan, yang meminta Steven membantu pelajar tersebut, lapor Malaysiakini.

Sementara itu, sumbangan sama turut diusahakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, yang akan memberikan sumbangan kepada tiga lagi pelajar lain.

ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu turut proaktif dalam membantu rakyat di kawasannya. 

Minggu lalu, beliau telah mengedarkan 75 unit peranti merangkumi tablet dan komputeri riba kepada pelajar di kawasannya yang jumlah keseluruhannya bernilai RM34,000. 

“Sumbangan ini diharap dapat melancarkan pembelajaran pelajar yang memerlukan di kawasan Pasir Bedamar. 

“Ia mendapat sambutan menggalakkan oleh keluarga-keluarga di kawasan ini,” katanya. – Roketkini.com.