Kenyataan Akhbar

500 dos sehari dalam tempoh 6 jam: Vaksin perlu ‘pergi’ kepada rakyat – ADUN Paloh

Oleh Sheikh Umar Bagharib Ali

(Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh)

1. Semalam, 500 suntikan dos pertama berjaya diberikan kepada warga emas dalam satu program outreach di kawasan DUN Paloh.

2. Program seharian yang bermula pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang ini membuktikan bahawa proses vaksinasi perlu mengambil konsep ‘pergi’ kepada rakyat. Ini khususnya melibatkan kelompok sasar warga emas dengan turut mengambil kira kelompok komorbid (berpenyakit) diberikan keutamaan, dan juga lokaliti luar bandar. 

3. Keseluruhan warga emas disini sangat gembira. Haji Hamzah 76 tahun yang merupakan penghidap diabetes serta darah tinggi menangis terharu dan bersyukur setelah mendapat vaksin semalam. Makcik Lachumi yang berkerusi roda pula rasa sangat bertuah kerana tidak perlu menempuh kesukaran untuk bergerak jauh ke PPV di bandar Kluang atau Simpang Renggam pada saat usianya mencecah 84 tahun. Uncle Sim See Kah 86 tahun menyifatkan, “Tuhan telah menghantar malaikat untuk membantu orang tua di Paloh”!

4. Paloh merupakan kawasan luar bandar di daerah Kluang. Setakat ini, hanya terdapat 2 PPV melibatkan daerah Kluang iaitu Dewan Jubli Intan dekat pusat bandar dan terbaru di Simpang Renggam. Bagi rakyat dari kawasan luar bandar seperti Paloh, jarak perjalanan menuju ke PPV Dewan Jubli Intan adalah agak jauh kira-kira 60km pergi-balik. Simpang renggam pula lebih kurang 120km jarak pergi-balik.

5. Keadaan ini amat menyukarkan warga emas khususnya untuk menghadiri temujanji di PPV-PPV tersebut meskipun ia masih dikira berada dalam daerah yang sama. Bahkan, sebahagian warga emas disini terpaksa melepaskan tarikh temujanji tersebut kerana kekangan yang dihadapi. 

6. Selain itu, rata-rata anak-anak warga emas di Paloh tinggal di daerah atau negeri yang berlainan untuk berkerja. Pada saat perlaksanaan PKP ini, sukar untuk mereka pulang dan membantu ibu-bapa bagi urusan vaksinasi.

7. Sebab itu saya berpandangan pendekatan membawa vaksin ‘pergi’ menemui rakyat ini amat membantu dan memudahkan urusan warga emas. Bayangkan dalam tempoh lebih kurang 6 jam sahaja, 500 dos suntikan vaksin dapat diberikan dalam masa satu hari. Ini amat membantu khususnya dalam mempercepatkan proses ‘herd immunity’ di sesebuah lokaliti.

Kerajaan, agensi, pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat perlu kerjasama erat

8. Satu perkara penting juga, Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus berkerja sama erat dengan pihak KKM untuk membantu melicinkan perjalanan program. Penggunaan Dewan Orang Ramai milik Majlis Perbandaran Kluang sangat membantu lebih-lebih lagi lokasinya yang mudah diakses, kapasiti yang luas, fasiliti yang mencukupi serta kondisi dewan yang selesa sangat membantu proses orang ramai mendapatkan vaksin.

9. Selain itu, pusat-pusat khidmat wakil rakyat setempat perlu diangkat untuk memainkan peranan lebih besar. Pada saat mengurus pandemik ini, kita memahami kesibukan yang menghambat para petugas frontliners. Di Paloh semalam, pusat khidmat saya telah memainkan peranan memperuntukan makan minum untuk para petugas, menyediakan bantuan tambahan logistik seperti kanopi, meja dan kerusi serta menyediakan petugas sukarela bagi mengaturcarakan perjalanan program.

10. Pada masa yang sama, pusat khidmat wakil rakyat setempat boleh menjadi one stop centre untuk menyalurkan info-info berguna kepada rakyat yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan program.

11. Dalam hal ini, saya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri serta Pegawai Daerah Kluang khasnya yang telah mengambil inisiatif menganjurkan perbincangan serta mengambil langkah bersepadu melibatkan agensi-agensi berkaitan serta wakil-wakil rakyat rentas parti. 

12. Sebagai rekod, Menteri Besar Johor telah mempengerusikan mesyuarat khas berhubung perkara ini pada 27 Mei 2021 lalu. Ia kemudiannya disusuli pembentukan serta mesyuarat pertama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kluang yang dipengerusikan oleh Tuan Pegawai Daerah melibatkan kami semua pada 30 Mei 2021. Jawatankuasa ini serta fungsinya perlu diteruskan dengan lebih kerap lagi dalam rangka menggembeleng usaha bersama melawan Covid-19.

13. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih secara khusus kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang, Klinik Kesihatan (KK) Paloh dan semua frontliners yang membantu menjayakan program vaksinasi semalam.

14. Sekali lagi saya tegaskan; vaksin perlu ‘pergi’ kepada rakyat untuk memastikan warga kita mendapat akses kepada vaksin dengan kadar segera. – Roketkini.com