Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Mana komputer riba yang dijanjikan PN?

Oleh Aziera NH

ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang menggesa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menyegerakan pemberian 150,000 komputer riba untuk pelajar seperti yang dijanjikan dalam pembentangan Belanjawan 2021.

Menurutnya, sehingga hari ini banyak sekolah dan ibu bapa di Sabah mengadu mereka belum menerimanya.

Untuk rekod, Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin mengumumkan sebanyak 12,887 komputer telah diagihkan kepada pelajar di seluruh negara dan sebanyak 40,290 lagi akan diagihkan sehingga 12 Jun ini.  Baki 96,823 komputer lagi akan diagihkan pada September 2021.

“Adakah Sabah menerima mana-mana komputer ini? Kalau tidak, kenapa Sabah ditinggalkan lagi?

“Kerajaan perlu segera menangani kelewatan ini kerana Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula 14 Jun sehingga 17 Julai.  

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekolah ditutup dan kelas pelajar dijalankan secara dalam talian tetapi tidak semua pelajar mampu membeli peranti atau data telekomunikasi,” katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Menurut Jannie, kelewatan pengedaran komputer riba tidak dapat diterima kerana dana telah diperuntukkan dan kerajaan hanya perlu menentukan penerima yang layak berdasarkan data yang ada. 

Tambahnya, beliau telah menerima beberapa permintaan untuk bantuan komputer riba kerana ramai pelajar di Sabah tidak mempunyai kelengkapan peralatan untuk menjalani PdPR.

“Seorang guru dari SK St Anthony, Dontozidon di Penampang berkata 429 pelajar telah memohon komputer riba tetapi mereka masih menunggu.

“Selain daripada 150,000 komputer riba, kerajaan Persekutuan juga harus memberikan maklumat mengenai status peruntukan RM100 juta bagi pinjaman untuk membeli komputer riba yang dijanjikan kepada penerima di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” ujarnya lagi. 

Justeru, katanya, beliau berharap peruntukan RM15 juta oleh kerajaan Sabah untuk penyediaan komputer riba kepada pelajar kurang mampu yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun ini bukanlah janji kosong. 

“Fasa 1 Program Bantuan Komputer (BAIK) dikatakan bermula pada 19 Julai hingga 18 Oktober tahun ini untuk memberikan 10,000 komputer riba,” katanya. – Roketkini.com