Berita, Kenyataan Akhbar

Kerajaan perlu serius pertimbang Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) 2.0

Kenyataan media Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin pada hari Khamis, 17 Jun 2021 di Bakri, Johor.

Kita sudah menghampiri bulan Julai, oleh itu kerajaan, khususnya Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) kini sedang mempersiap penentuan Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bagi tempoh Julai hingga Disember 2021i.

Negara kita kini sedang berdepan dengan satu lagi perintah kawalan pergerakan (PKP). Menerusi Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan, sekolah hanya akan dibuka paling awal pada bulan September, manakala pembukaan semula ekonomi pada akhir tahun ini. Dengan kata lain, ramai yang akan kekal di rumah untuk bekerja atau belajar pada separuh kedua tahun 2021. Antara salah satu kesan sampingan tinggal di rumah adalah bil elektrik yang melambung tinggi.

Berdasarkan keputusan yang dibuat pada penghujung tahun 2019 mengenai mekanisme ICPT untuk Januari hingga Jun 2020, Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) mampu mengumpulkan lebih daripada RM1.5 bilion pada penghujung Jun 2020 – terdiri daripada RM200 juta KWIE sedia ada, RM594 juta surcaj bahan api daripada pengguna komersial dan perindustrian (kos bahan air), serta RM774 juta simpanan daripada hasil pelarasan IBR (kos penjanaan).

Menurut jawapan balas Parlimen pada akhir tahun lalu, RM700 juta KWIE telah digunakan untuk menyokong BPE, yang menawarkan diskaun sebanyak RM77 sebulan kepada pengguna elektrik dari bulan April hingga Jun.

Oleh kerana harga arang batu global berterusan merosot pada separuh kedua tahun 2020 dan dengan mengambil kira kenaikan harga gas paip yang dijadualkan, pemulihan harga arang batu global sejak Januari 2021, potensi penjimatan kos penjanaan IBR dan rebat ICPT yang sederhana bagi tempoh Januari hingga Jun 2021, dianggarkan masih ada dana yang mencukupi dalam KWIE.

Tambahan pula, sebelum meninggalkan pejabat, kami berjaya mendapat komitmen daripada Penjana Kuasa Bebas (IPP) untuk membayar hutang tertunggak 10 tahun mereka kepada Akaun Amanah Bekalan Industri Elektrik (AAIBE) berjumlah RM100.7 juta untuk AAIBE (semenanjung) dan RM4.8 juta pada akhir tahun 2020. Ia juga boleh digunakan untuk mengurangkan impak tarif.

Kita kini hidup dalam suatu masa yang luar biasa. Penjimatan KWIE dan AAIBE yang dilaksanakan sebelum ini adalah untuk menghadapi hari sukar seperti kini. Walaupun penting untuk menguruskan jangkaan pengguna terhadap tarif berdasarkan harga bahan api, adalah lebih penting untuk membantu rakyat biasa bagi melalui masa-masa sukar ini.

Dengan ini, saya menyeru Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dr Shamsul Anuar bin Haji Nasarah memimpin pasukannya untuk memanfaatkan dana KWIE dan AAIBE, dan jika boleh, mendapatkan dana tambahan daripada Kementerian Kewangan.

KeTSA disaran untuk merancang BPE 2.0 yang komprehensif untuk membantu keluarga B40, M40 dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang kini sedang bergelut secara tersasar, tanpa memberi subsidi secara “blanket” kepada industri yang memperoleh keuntungan berganda ketika pandemik ini, seperti industri pembuat sarung tangan dan sebagainya.