Uncategorized

Mengapa pihak berkuasa hentikan ujian saringan pandu lalu Muar? – Yeo Bee Yin

Oleh Aziera NH

“Dr. Adham Baba, apakah ada arahan khusus untuk ujian saringan komuniti sekarang?”

Demikian persoalan dilontarkan Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Bee Yin berkata, ini selepas ujian saringan percuma yang dianjurkan pejabatnya di Muar, Johor dihentikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) semalam.

“Program ujian komuniti (pandu lalu) kami dihentikan oleh pihak berkuasa pagi ini, (serta) mengancam membatalkan lesen doktor. Ini mengarut,” ciapnya di laman Twitter semalam.

Semalam, Sin Chew Daily melaporkan, polis dan pegawai kesihatan menghentikan ujian saringan secara pandu lalu itu, yang hanya mengenakan bayaran RM30 untuk kit RTK-Antigen kerana risau ia akan menarik orang ramai dan seterusnya mencetuskan penularan wabak.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan itu, program serupa yang dijalankan wakil rakyat di Johor Bahru dan Kulai tidak dihentikan.

Dalam pada itu, Bee Yin berkata, berbanding mengganggu program ujian komuniti, pihak berkuasa sepatutnya memberi tumpuan kepada klinik dan hospital swasta yang mengenakan bayaran lebih RM100 bagi individu yang ingin melakukan ujian Covid-19.

Oleh itu, Bee Yin menggesa Menteri Kesihatan, Adham Baba untuk mengeluarkan garis panduan yang jelas berhubung ujian komuniti Covid-19 secara massa.

“Ini kerana setiap pusat kesihatan daerah diberi kuasa memutuskan sama ada mahu membenarkan ujian massa atau tidak, tetapi dikatakan jabatan kesihatan negeri menghalang ujian seumpama itu.

“Pegawai bimbang program seperti ini menarik orang ramai, tetapi bagaimana program pandu lalu boleh menyebabkan perkara itu?

“Selain itu, kakitangan yang membuat saringan juga mengenakan peralatan perlindungan peribadi (PPE),” katanya seperti dipetik Malaysiakini. – Roketkini.com