Kenyataan Akhbar

Sidang Parlimen: Tiada apa untuk dikaji, lakukan sahaja

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan)

Pengumuman Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan akan membentuk sebuah jawatankuasa untuk mengkaji sama ada Parlimen perlu bersidang adalah tidak masuk akal, tidak bertanggungjawab dan taktik tidak jujur untuk menangguhkan persidangan tersebut sehingga September atau Oktober, dan bukannya secepat mungkin seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja. 

Membentuk jawatankuasa untuk mengkaji sama ada Parlimen perlu bersidang semula secepat mungkin adalah sama seperti membentuk jawatankuasa untuk mengkaji sama ada Perdana Menteri perlu meletakkan jawatan, sedangkan keputusan tersebut terletak di tangan Perdana Menteri sendiri.

Sepatutnya, tidak ada apa-apa untuk dikaji sama ada Parlimen perlu bersidang semula secepat mungkin, Mahiaddin hanya perlu melakukannya sahaja. Jika Mahiaddin tidak bersedia untuk melakukannya, ini menunjukkan dia tidak ikhlas untuk mematuhi titah Diraja untuk memanggil semula sidang Parlimen bagi menggerakkan usaha keseluruhan masyarakat untuk memenangkan pertempuran memerangi pandemik Covid-19 dan mempercepatkan program vaksinasi. Mahiaddin terdesak sehingga berani menentang titah diraja, menunjukkan dia sudah tiada keabsahan politik dan kehilangan majoriti Parlimen di kalangan Ahli Parlimen.

Sebagai Perdana Menteri yang gagal memimpin kerajaan yang gagal dalam menangani pandemik Covid-19, kemelesetan ekonomi yang membawa kesusahan ekonomi kepada pekerja dan perniagaan, hilangnya keyakinan dan kepercayaan rakyat, Mahiaddin patut membenarkan Parlimen menentukan jalan keluar dari krisis yang melanda negara. 

Kelewatan sehari dalam membuka semula Parlimen akan menjadi satu hari yang hilang dalam usaha mencari penyelesaian.

Bahkan Jawatankuasa Khas bagi Parlimen hibrid – gabungan kehadiran fizikal dan maya, kini dilihat sebagai taktik penangguhan dan muslihat politik untuk mengenepikan proses perlembagaan. Parlimen hibrid tidak boleh dijalankan kecuali Peraturan Mesyuarat dipinda terlebih dahulu oleh Parlimen. Ini memerlukan satu mesyuarat fizikal melibatkan semua 220 Ahli Parlimen mesti diadakan terlebih dahulu untuk melakukan pindaan yang diperlukan terhadap Peraturan Mesyuarat sebelum sebarang mesyuarat Parlimen hibrid boleh diadakan.

Mahiaddin terus mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan dirinya sendiri dengan mengatakan bahawa pembukaan semula Parlimen di bawah Fasa 3 Pelan Pemulihan Nasional, akan ditentukan apabila jumlah kes baharu harian Covid-19 turun di bawah 2,000 dan kadar vaksinasi telah mencapai 40 peratus, katil yang “mencukupi” di Unit Rawatan Rapi (ICU) tersedia untuk pesakit Covid-19. 

Ketika ini, tiada kes harian Covid-19 yang melibatkan Ahli Parlimen, tidak ada Ahli Parlimen yang menerima rawatan di bawah ICU dan semua Ahli Parlimen telah diberi vaksin sepenuhnya. Mahiaddin tidak mempunyai sebarang sebab atau alasan untuk tidak membuka semula Parlimen.

Mesyuarat fizikal Parlimen boleh diadakan dalam notis biasa 28 hari yang diberikan atau jangka masa yang lebih pendek beberapa hari sebagaimana yang diputuskan oleh Perdana Menteri mengikut Peraturan Mesyuarat 11 Parlimen. Sekiranya Mahiaddin dengan degil menolak untuk berbuat demikian, Ahli Parlimen mungkin tidak mempunyai pilihan selain terpaksa merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan kuasa Baginda di bawah Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat 2021 untuk memanggil semula Parlimen seperti dinyatakan, “Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong”. – Roketkini.com