Uncategorized

Agong punya kuasa autoriti memanggil sidang Parlimen

Kenyataan Media Bersama AHLI-AHLI DEWAN NEGARA PARLIMEN MALAYSIA:

1. Kami, Ahli-Ahli Dewan Negara, Parlimen Malaysia menyokong penuh kenyataan Tuan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang telah menegaskan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah mempunyai kuasa autoriti semasa darurat untuk memanggil Ahli Parlimen kembali bersidang. Kenyataan Tuan Yang Dipertua Dewan Negara itu adalah berdasarkan kepada Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, pada Seksyen 14 (1)(b) yang telah memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil, memprorog (melanjutkan) dan membubarkan Parlimen. Seiring pandangan Tuan Yang Dipertua Dewan Negara, kami juga berpendapat bahawa kuasa tersebut telah diturunkan terus kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan ia adalah penyerahan kuasa yang lengkap bersesuaian dengan tempoh Darurat yang masih berlangsung.

2. Kami menjunjung kasih titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu atas kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan berhubung keperluan negara untuk segera keluar daripada kegagalan mengawal dan mengurus bukan sahaja masalah pandemik Covid-19, tetapi juga masalah ekonomi negara dan perpaduan sosial rakyat keseluruhan.

3. Kami juga ingin menzahirkan kebersamaan kami dengan KDYMM Tuanku yang telah menekankan tentang betapa pentingnya kestabilan politik dan keperluan adanya sebuah kerajaan yang mendapat mandat rakyat bagi memerangi wabak Covid-19 secara berkesan.

4. Kami berpandangan adalah amat jelas akan Titah Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong yang menggesa agar Parlimen segera bersidang. Malah kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu (MRRM) yang senada menyeru agar sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri-Negeri dipanggil segera adalah isyarat jelas akan kepentingan negara ini untuk terus memelihara prinsip Demokrasi Berparlimen dan Keluhuran Perlembagaan.

5. Parlimen perlu segera kembali berfungsi sebagai platform semak imbang tata kelola serta perjalanan pentadbiran kerajaan, membahas Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara, membincang lumat akan segala peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat secara adil dan menyeluruh.

6. Kami konsisten menekankan bahawa sebarang keputusan berkaitan menangani krisis politik, kesihatan dan ekonomi negara sewajarnya dilakukan di Parlimen sebagai institusi tertinggi demokrasi yang mewakili suara semua rakyat. Parlimen dan DUN adalah hak rakyat dan tempat di mana hak dan suara mereka didengar secara jelas, terarah dan konstruktif.

#KeluhuranPerlembagaan #KembalikanDemokrasi #DemokrasiBerparlimen

Kenyataan Bersama :

Senator Hjh Raj Munni Sabu

(Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara)

Senator Liew Chin Tong

(Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara)

Senator Datuk Theodore Doughlas

(Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara)

Senator Ismail Yusop

(Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara)

Senator Dr Yaakob Sapari

Senator Dato Wira Marzuki Yahaya

Senator Dato Donald Peter Mojuntin

Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah 

Senator Datuk Husam Musa

Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff

Senator Manolan Mohamad

Senator Laksamana (B) Mohd Imran Abdul Hamid

Senator Dr Ahmad Azam Hamzah

Senator Lim Hui Ying

Senator Nga Hock Cheh

Senator Alan Ling Sie Kiong

Senator Adrian Banie Lasimbang

Senator Kesavadas Achyuthan Nair

Senator Suresh Singh

MENYOKONG PENUH KENYATAAN TUAN YANG DIPERTUA DEWAN NEGARA BAHAWA KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG MEMPUNYAI KUASA AUTORITI MEMANGGIL SIDANG PARLIMEN BERDASARKAN KUASA YANG DIPERUNTUKKAN OLEH SEKSYEN 14(1)(b), ORDINAN DARURAT (KUASA-KUASA PERLU) 2021.