Berita

Anandaveli, anak anjing penyelamat turut temukan rakan lama

Oleh B. Suffian

Kisah Anandaveli, seekor anak anjing yang menyelamatkan lima sekeluarga daripada maut dalam kebakaran di Teluk Intan, Perak baru-baru ini, telah menarik perhatian masyarakat baik di dalam mahupun luar negara.

Kisah anak anjing berusia lapan bulan itu telah menjadi tular dan diterjemahkan dalam bahasa lain seperti Sepanyol, Rusia dan Vietnam.

Namun begitu, mungkin ramai tidak tahu yang kejadian itu turut telah menemukan dua rakan lama iaitu pemiliknya, A. Vimala dengan bekas rakan sekelas, Terence Naidu, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar.

Kedua-dua mereka pernah sekelas di Sekolah Menengah Horley Methodist di Teluk Intan, kira-kira 40 tahun lalu.

Menceritakan kisah tersebut, Terence, 53, berkata, beliau pada minggu lalu telah melawat keluarga tersebut dan membawa bantuan kecemasan berupa wang tunai dan makanan.

Baru-baru ini juga, Terence menambah, beliau telah membawa berita baik kepada keluarga tersebut bahawa Kerajaan Negeri Perak bersetuju membantu keluarga Vimala mendapat perumahan sementara melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).

Jelasnya, beliau juga membincangkan penubuhan satu tabung bencana supaya orang ramai boleh menderma dalam usaha membantu keluarga terbabit membaik pulih rumah mereka.

“Saya terkejut apabila mendapati ia adalah Vimala dan beliau adalah rakan sekelas di Sekolah Menengah Horley Methodist, 40 tahun dahulu.

“Kedua-dua kami telah putus persahabatan sejak 1983 setelah tamat persekolahan, apabila Vimala menjadi suri rumah dan saya melanjutkan pelajaran untuk menjadi peguam dan kemudian memasuki kerjaya politik,” katanya kepada Roketkini hari ini.

Seperti dilaporkan media, kepantasan Anandaveli menggigit pipi, telinga serta menarik rambut dan baju tuannya telah menyelamatkan lima sekeluarga pada kejadian 24 Jun lalu.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi, di rumah teres dua tingkat di Eastern Garden itu, seorang daripada mangsa kebakaran, Vimala, 53, berkata, beliau tersedar setelah tindakan anjing betina itu mengejutkannya daripada tidur dan mendapati api sedang marak di bahagian tengah rumah.

Terence berkata, pertemuan semula yang tidak diduga itu telah menjadikannya lebih gigih untuk membantu rakan lama dalam keadaan mencabar kini.

“Kebakaran ini telah mengakibatkan anggaran kehilangan sebanyak RM50,000 dan sekurang-kurangnya RM60,000 diperlukan untuk membaik pulih kediaman mereka.

“Sesiapa yang ingin bantu boleh membuat sumbangan melalui akaun RHB di akaun ‘Pusat Khidmat Adun Pasir Bedamar’ pada nombor akaun RHB 25825300007690.

“Dan satu penyata akan disediakan dan dikemaskini setiap hari dengan nama dan jumlah derma di laman Facebook ‘Terence Naidu’ dan ‘Pusat Khidmat Adun Pasir Bedamar’.

Terence menjelaskan, Vimala juga telah bersetuju bahawa sebarang lebihan wang dari RM60,000 akan diagihkan kepada pusat perlindungan haiwan iaitu Persatuan Penyayang Haiwan Terbiar Teluk Intan,” katanya. – Roketkini.com