Berita

DAP peduli: ‘Kibarkan bendera putih, kami sedia membantu’

Bendera putih bukan bermaksud mengalah, tetapi pertolongan.

Demikian kata Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi sebagai menyatakan sokongan terhadap inisiatif murni yang digerakkan rakyat bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Sekiranya anda perlukan pertolongan, sudah habis makanan untuk disantap, kibarkan bendera putih ini dihadapan rumah. Ada yang akan datang membantu.

“Jangan simpan masalah anda bersendirian. Kita sama-sama hadapi waktu sukar ini. Anda tidak berseorangan. Kami ulang, ANDA TIDAK BERSEORANGAN

“Kami akan berusaha untuk membantu,” ujarnya di Facebook, baru-baru ini. 

Beliau yang juga Setiausaha Organisasi DAP Johor juga berharap seluruh anggota masyarakat memainkan peranan masing-masing dalam tempoh sukar berdepan sekatan pergerakan penuh dan ancaman jangkitan Covid-19. 

“Jika ada jiran yang kibarkan bendera ini, sampaikan maklumat kepada kami. Mungkin dia malu, mungkin dia tak tahu dekat mana nak minta bantuan. Kita jaga antara satu sama lain.

“Salurkan maklumat golongan yang memerlukan kepada whatsapp hotline Sayangi Kluang di talian 014-901 1758,” ujarnya. 

Sementara itu, Adun Ketari, Young Syefura Othman menyifatkan inisiatif kibar bendera putih tersebut sebagai cadangan baik.

Beliau berkata, warga Ketari yang memerlukan bantuan boleh terus menghubungi pusat khidmat beliau.

“Jangan malu jangan segan, insyaAllah kami akan bantu dan sampaikan #BegKetariKu kepada yang memerlukan. InsyaAllah #KitaJagaKita 

“Walaupun kita kena duduk dirumah jika tiada urusan penting diluar, ambil maklum dan tanya khabar jiran kita ok?” ujarnya yang juga Penolong Setiausaha Kebangsaan Wanita DAP. 

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching pula mengkritik kerajaan yang hanya akan menyalurkan Bantuan Khas Covid-19 pada Ogos sedangkan sekatan pergerakan penuh telah dilaksanakan sejak Jun. 

Katanya, ramai keluarga sudah tidak mampu untuk membeli barangan keperluan asas sehingga terpaksa mengibarkan bendera putih di hadapan rumah. 

“Sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0, pejabat saya dan pejabat Adun Senai Alan Tee Boon Tsong  telah menganjur pelbagai program sumbangan bakul makanan untuk mereka yang perlu barang dapur dan sumbangan tab untuk pelajar B40. 

“Warga Kulai, Senai, Bukit Batu dan Bukit Permai yang saya sayangi, sekiranya anda perlukan pertolongan, sudah habis makanan untuk disantap, hubungilah pejabat kami. Kami akan datang membantu. 

“Jangan simpan masalah anda bersendirian. Kita sama-sama hadapi waktu sukar ini. Anda tidak berseorangan.

“Kami akan berusaha untuk membantu,” ujarnya yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP. 

Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin menyeru agar penduduk Bakri menghubung pusat khidmat beliau jika terlihat bendera putih dinaikkan di kawasan Parlimen tersebut. 

“Jika ada terlihat mana-mana rumah yang menaikkan bendera putih di kawasan kejiranan anda, diharap dapat menghubungi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bakri (017-3233166) atau kongsi lokasi melalui Whatsapp. 

“Kami akan menghantar bantuan seberapa segera. Dalam musim pandemik ini, ramai orang yang hidup dalam kesempitan. 

“Kami berharap seluruh anggota masyarakat akan saling menjaga dan membantu antara satu sama lain dalam usaha membentuk komuniti yang lebih baik,” ujarnya yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP. — Roketkini.com