Kenyataan Akhbar

Mengenang 5,108 mangsa kematian Covid-19

Oleh Lim Guan Eng
(Setiausaha Agung DAP)

28 Jun 2021 adalah hari yang gelap bagi Malaysia apabila angka kematian Covid-19 kita melebihi 5,000 orang. Menjelang 29 Jun, terdapat tambahan 107 kematian yang menjadikan angka suram ini kepada 5,108. Tidak pernah dalam sejarah Malaysia begitu banyak kematian akibat satu faktor dalam masa yang singkat.

Melihat statistik semata-mata boleh membuat kita lupa bahawa 5,108 yang meninggal dunia adalah orang yang sayang dan disayangi oleh ahli keluarga dan sahabat. Begitu banyak keluarga yang telah merana. Kita tidak akan tahu berapa ramai yang sudah mendaftar tetapi meninggal dunia sementara menunggu vaksin atau dapat diselamatkan sekiranya vaksin itu ditempah lebih awal oleh kerajaan yang bersikap sambil lewa.

Malah Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing mengatakan adiknya Jantai Masing, 68, yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Kapit pada 31 Mei, akan terus hidup sekiranya beliau menerima vaksin lebih awal. Kerajaan PN telah menolak untuk mengakui kegagalan mereka membuat peruntukan dalam Belanjawan 2021 yang diluluskan tahun lalu bagi perolehan vaksin, tetapi menunggu hingga April 2021 dengan menggunakan kuasa Darurat untuk memanfaatkan RM5 bilion dari tabung Kumpulan Wang Amanah Negara Tabung, tanpa kelulusan Parlimen.

Jelas bahawa PN bertindak terlalu perlahan dan lambat. Ditambah dengan salah urus Covid-19 yang menyebabkan jumlah tertinggi terkini kes dan kematian.  Walaupun “total lockdown” sudah dilaksanakan selama 4 minggu sejak 1 Jun 2021, keadaan tidak bertambah baik malah bertambah buruk.

“Total Lockdown” Gagal Kerana Kerajaan PN Gagal.

Melihat jumlah kes sahaja tidak cukup. Yang lebih penting adalah kadar positif, di mana jangkitan berdasarkan jumlah ujian saringan yang dilakukan. Pada 1 Jun terdapat 100,885 ujian saringan yang menghasilkan 7,105 kes positif yang menjadikan kadar positif 7.04%, jauh melebihi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebanyak 5%.

Pada 28 Jun terdapat 61,025 ujian saringan yang menghasilkan 5,218 kes positif yang menjadikan kadar positif 8.55%. Pada 29 Jun terdapat 68,052 ujian saringan yang menghasilkan 6,437 kes positif yang menjadikan kadar positif 9.46%. Kadar positif sebanyak 9.46% ini amat membimbangkan dan tertinggi pada tahun ini walaupun “total lockdown” selama 4 minggu. Jelas bahawa keadaan menjadi semakin buruk.

Kedudukan Malaysia Lebih Teruk Berbanding India, Indonesia Vietnam dan Thailand.

Tidak hairanlah bahawa masyarakat sivil dan organisasi seperti Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) secara terbuka mengatakan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) “total lockdown” telah gagal. Tahap Ketahanan Covid-19 Bloomberg 2021 untuk bulan Jun telah menurunkan kedudukan Malaysia dengan ketara dari tangga 16 pada bulan Januari kepada 3 yang tercorot – tangga ke-51 dari 53 ekonomi yang diukur dari saiz ekonomi lebih dari US$ 200 bilion. Malaysia berada di kedudukan lebih teruk berbanding India, Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Sebab-sebab kegagalan ini adalah jelas. Dasar yang berubah-ubah dan pusingan U dalam prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 oleh Kerajaan PN, dan juga amalan dua darjat dalam penguatkuasaan antara VIP dan rakyat, tidak membantu. Begitu juga dengan kegagalan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri, seperti Mohamed Azmin Ali, Annuar Musa, Zuraida Kamaruddin dan Mohd Khairuddin Aman Razali serta Timbalan-Timbalan Menteri, dalam mematuhi sekatan PKP yang ditetapkan mereka sendiri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon adalah yang terbaru didapati melanggar SOP dengan masing-masing makan secara terbuka di sebuah kafe dan mengadakan jamuan durian beramai-ramai di kawasan parlimen mereka. Masih teringat dengan ucapan jahat Azmin Ali semasa kempen Pilihan Raya Kecil Slim pada 23 Ogos 2020, menyatakan bahawa nasib baik PN memerintah kerana lebih ramai rakyat Malaysia akan mati akibat Covid-19 sekiranya PH masih menjadi kerajaan.

Azmin jelas berbohong. Pada 23 Ogos 2020, jumlah kematian kumulatif adalah 125 dengan 9,267 kes. Setakat 29 Jun 2021, jumlah kematian meningkat kepada 5,108 dengan kumulatif 745,703 kes. Sejak 23 Ogos 2020, 4,983 lagi rakyat Malaysia telah meninggal dunia kerana ketidakcekapan dan salah urus pandemik Covid-19 oleh Kerajaan PN. Sudah tentu, tidak ada permintaan maaf atau penyesalan dari Azmin kerana membuat kenyataan yang tidak berasas dan jelek itu.

Adakah Saya Akan Jadi Mangsa Seterusnya …

Di antara mereka yang meninggal dunia adalah sahabat dan rakan seperjuangan saya, bekas Ahli Parlimen Sabah Hsing Yin Shean, yang meninggal dunia pada 1 Jun 2021, beberapa hari selepas dijangkiti Covid-19. Pasangan warga emas yang meninggal dunia di rumah mereka atau ibu bapa yang meninggalkan anak-anak kecil mereka menjadi yatim piatu begitu menyayatkan hati. Siri berulang PKP nampaknya tidak mampu untuk melawan Covid-19 sehingga kita tertanya-tanya sama ada kita akan menjadi mangsa yang seterusnya.

“Semasa PKP 1.0, saya tidak mengetahui tentang mana-mana sahabat yang dijangkiti Covid-19, semasa PKP 2.0 saya mempunyai sahabat-sahabat dijangkiti Covid-19, di bawah “total lockdown” PKP 3.0 saya mempunyai sahabat-sahabat yang meninggal secara tragis akibat Covid-19. Sekiranya ada PKP 4.0 selepas ini, saya mungkin menjadi mangsa seterusnya … “

Kehilangan Nyawa Dan Mata Pencarian Yang Tiada Ganti

Nyawa yang hilang akibat Covid-19 tidak menunjukkan sejauh mana teruknya kesan kehilangan mata pencarian. Kehilangan mata pencarian juga menyebabkan kehilangan nyawa yang mengerikan bagi sesetengah orang. Ketika PKP 1.0 dan 2.0 dilaksanakan tahun lalu, pihak polis mendedahkan bahawa terdapat 631 kes bunuh diri pada tahun 2020 dibandingkan dengan 609 pada tahun 2019 di seluruh negara, yang disebabkan oleh kehilangan mata pencarian dan masalah keluarga. Bagi 3 bulan pertama tahun 2021, terdapat 336 kes bunuh diri, lebih separuh daripada yang dilaporkan sepanjang tahun 2020.

Di Pulau Pinang terdapat 53 kematian akibat bunuh diri sepanjang 5 bulan pertama tahun 2021, hampir sama dengan 58 kematian akibat bunuh diri untuk keseluruhan tahun 2020. Peningkatan kes bunuh diri yang berkaitan dengan Covid-19 telah menggoncang asas moral masyarakat kita. Inilah kehilangan nyawa yang tersembunyi dan kesan buruk yang tidak dapat dilihat yang telah merosakkan jiwa rakyat negara ini.

Kita bersatu dalam kesedihan atas bencana kehilangan nyawa dan mata pencarian. Negara ini berhak mendapat lebih baik. Oleh kerana usaha keseluruhan kerajaan untuk memerangi Covid-19 telah gagal, kini terserah kepada kita semua rakyat Malaysia untuk melakukan usaha keseluruhan masyarakat bersama dengan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja bagi melakukan perkara yang patut untuk menang melawan Covid-19. Ini akan menjadi penghormatan terbaik untuk mengingati 5,108 kematian dan banyak lagi yang lain akibat sebab yang berkaitan dengan Covid-19.

Seperti kata St Francis of Assisi, “Mulakan dengan melakukan apa yang perlu;  kemudian lakukan apa yang boleh; dan tiba-tiba anda berjaya melakukan apa yang mustahil.”