Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kempen bendera putih bukti kegagalan PN

Oleh Aziera NH

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin memanggil mesyuarat khas Kabinet untuk mengumumkan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos dan membincangkan langkah untuk mengatasi masalah rakyat.

Jelas Kit Siang, Malaysia dijangka akan mencatatkan lebih daripada sejuta kes dan 10,000 kematian menjelang tempoh di antara sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada 31 Ogos dan 16 September tahun ini. 

“Ini bukanlah caranya untuk kita sambut Hari Kemerdekaan ke-64 dan Hari Malaysia ke-58,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh sebab itu, katanya, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu bersidang ‘secepat mungkin’ untuk merangka strategi dan pelan baharu untuk melawan wabak Covid-19.

Katanya, sudah lebih dua minggu sejak mesyuarat khas Majlis Raja-raja yang menyeru supaya Parlimen dan DUN dipanggil bersidang secepat mungkin. 

“Mengapakah Perdana Menteri masih berlengah-lengah mengenai perkara ini?

“Cara bagaimana kempen ‘bendera putih’ tersebar ke seluruh negara menjadi satu bukti kuat kegagalan, sikap tidak sensitif, dan kesilapan kerajaan Muhyiddin dalam mengendalikan wabak Covid-19 dalam negara kita,” katanya. – Roketkini.com