Berita

Bendera putih: Wakil rakyat DAP turun padang agih bantuan

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berulang-ulang tanpa membuahkan hasil telah menyebabkan ramai hilang kerja dan pendapatan sehingga mengalami masalah kewangan.

Selain keperluan makanan untuk mengisi perut, ada banyak keperluan lain yang juga begitu mendesak.

Ada yang perlukan peranti elektronik untuk pembelajaran atas talian anak-anak apabila telefon yang digunakan sudah rosak dan tidak mampu untuk membeli telefon baru.

Ada golongan warga emas yang perlukan bantuan kewangan untuk tujuan perubatan.

Kemuncaknya rakyat terpaksa memacak bendera putih di hadapan rumah bagi mendapatkan pertolongan daripada pihak yang bermurah hati untuk membantu.

Pun begitu, ada keluarga yang benar-benar memerlukan dilaporkan takut untuk mengangkat bendera putih kerana bimbang diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Menerusi hantaran di Facebook baru-baru ini, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa agar orang ramai yang menaikkan bendera putih tidak dikenakan tindakan kerana jelas mereka dalam kesusahan.

“Bendera putih tanda orang susah yakin ada yang masih sayang, harapan masih ada.

“Kesal kerajaan PN masih tidak sedar atas kegagalan menguruskan pandemik dan enggan memberi bantuan ekonomi kepada rakyat yang susah.

“Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan tetap bantu,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkata, pelaksanaan PKP kali ini lebih parah berbanding tahun lalu.

Justeru itu, pasukan khidmat beliau telah meneruskan usaha untuk membantu rakyat yang terkesan.

Menurut Anthony yang juga Setiausaha Organisasi DAP, sejak pelaksanaan PKP 3.0 pada 1 Jun lalu, 2,600 keluarga telah menerima bantuan makanan asas daripada pejabat beliau.

“Sesiapa sahaja yang terputus bekalan makanan, hubungilah kami. Kami sentiasa bersedia untuk membantu,” ujarnya.

Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Raja Puji pula berkata khidmat masyarakat dan kemanusiaan perlu diutamakan tanpa mengira kaum ketika musim pandemik mengganas ini.

Beliau telah menyerahkan bantuan barangan makanan kepada 20 pekerja kilang papan di Batu Buaya dekat Benta, Pahang.

“Mereka telah terputus bekalan makanan dan berkurung selama sebulan kerana tidak dibayar gaji dan majikan tidak dapat datang (ekoran) lockdown.

“Walaupun mereka bukan penduduk asal, khidmat masyarakat dan kemanusiaan perlu diutamakan,” ujarnya yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan. — Roketkini.com