Berita

‘Kenapa P. Pinang tak termasuk dalam PPN Fasa 2?’

Oleh Ghafar NS

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berpendapat, Pulau Pinang juga boleh beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini bersama lima negeri yang telah diumumkan. 

Negeri berkenaan adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis.

Guan Eng berkata, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz perlu menjelaskan mengapa negeri itu dikecualikan dari Fasa 2 PPN. 

Tambahnya, ini ketika Pulau Pinang menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada nilai ambang yang ditetapkan berbanding dengan Pahang.

“…mengapa Pulau Pinang tidak termasuk sekali?

“Kerajaan Persekutuan PN harus mengakui bahawa pendekatan berpusat telah gagal menghasilkan hasil yang diinginkan dan harus memberi peluang kepada kerajaan negeri serta ahli Parlimen untuk menguruskan Covid-19 di kawasan masing-masing,” tegasnya.

Menurut Guan Eng, kerajaan negeri dan ahli Parlimen perlu diberikan peluang untuk memutuskan apa pendekatan terbaik mengenai sekatan PKP atau waktu operasi perniagaan di kawasan masing-masing.

“Ini juga akan mendorong akauntabiliti dan ketelusan berbanding formula satu ukuran sesuai untuk semua yang menghukum tingkah laku baik dan buruk secara pukul rata,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang telah mencapai 9.9 peratus populasi dewasa yang menerima suntikan dua dos vaksin setakat 3 Julai lalu. 

“Hanya berbaki 3,181 dos lagi, dan kita akan mencapai kadar 10 peratus pada hari Isnin, 5 Julai ini (hari ini),” katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Dengan tercapainya tiga nilai ambang itu, beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) diharap mempertimbangkan untuk Pulau Pinang beralih ke Fasa 2 Rancangan Pemulihan Negara dalam tempoh masa terdekat. – Roketkini.com