Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Langkah segera akan diambil untuk bantu rakyat Sabah dengan peruntukan RM300 ribu

Kenyataan media ahli-ahli Parlimen DAP Sabah pada 6 Julai 2021

Ahli-Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Sabah yang masing-masing mewakili Kota Kinabalu, Tenom dan Sandakan, ingin mengesahkan bahawa kami telah menerima sejumlah RM300,000.00 sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam akaun bank pusat khidmat masing-masing.

Kami telah segera memulakan kerja, termasuk mencari dan mendapatkan bekalan makanan dan mengenal pasti penerima. Pusat khidmat kami telah dibanjiri dengan jumlah panggilan yang sangat tinggi mengenai perkara di atas, dan kami meminta kesabaran dan pemahaman anda. Kami tidak beroperasi berdasarkan ‘siapa dulu siapa dapat’ dan kami akan menyaring kesemua permohonan bantuan dengan sewajarnya dan membantu mereka yang paling memerlukan dan memastikan tidak ada pertindihan pertolongan. Kami ingin menyeru kepada mereka yang baru-baru ini sudah menerima bantuan makanan untuk tidak lagi memohon agar membolehkan orang lain yang lebih memerlukan untuk menerima bantuan makanan kali ini untuk mendapatkan makanan.

Garis panduan yang dikeluarkan kepada kami telah menyatakan bahawa setiap bakul makanan mengandungi makanan bernilai RM100. Di bawah garis panduan ini, kami hanya dapat mengeluarkan maksimum 3000 bakul makanan, yang akan meliputi kurang dari 10% pengundi di kawasan kami, masing-masing. Ini sudah tentunya tidak memuaskan.

Dalam keadaan seperti itu, kami telah memperjelaskan dan berjaya mendapatkan dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri lampu hijau untuk mengurangkan nilai setiap bakul makanan daripada RM 100 kepada RM50, dan sebagai gantinya, kami dapat mengagihkan hingga dua kali ganda jumlahnya bakul makanan (dari 3000 kepada 6000) di kawasan Parlimen kami, masing-masing, dan dapat membantu lebih ramai orang. Kami percaya bahawa ianya sangat mustahak untuk memaksimumkan jangkauan dan membantu sebanyak mungkin orang yang boleh.

ICU selanjutnya mengesahkan bahawa setiap Ahli-Ahli Parlimen mempunyai budi bicara untuk mengubah kandungan dan spesifikasi bakul makanan yang bersesuaian bagi penduduk kawasan masing masing dan tidak setiap bakul makanan harus mengandungi barangan yang sama.

Kami, ketiga-tiga Ahli-Ahli Parlimen DAP Sabah, mengesahkan bahawa kami akan mematuhi garis panduan oleh ICU dan akan membuat keputusan perolehan yang paling masuk akal dengan budi bicara yang diberikan kepada kami. Sebilangan daripada kami mungkin memutuskan untuk mengurangkan kuantiti barang-barang tertentu (iaitu dari pek beras 10kg menjadi pek beras 5kg) atau memutuskan untuk tidak memasukkan barang-barang tertentu seperti sos cili, susu pekat manis, gula atau barang-barang lain di dalam bakul makanan kami, dan kami berharap bahawa pengundi kami akan memahaminya. Kos setiap bakul makanan yang diedarkan adalah sekitar RM50.00 setelah menagmbil kira kos pengangkutan dan logistik lain.

Oleh kerana setiap kawasan Parlimen mempunyai keadaan yang berbeza, pejabat kami masing-masing akan mempunyai cara yang berbeza untuk mengumpulkan permohonan dan mengenal pasti penerima bakul makanan. Sila rujuk pejabat parlimen masing-masing untuk maklumat lebih lanjut.

CHAN FOONG HIN (Ahli Parlimen P. 172 Kota Kinabalu)
NOORITA SUAL (Ahli Parlimen P. 181 Tenom)
VIVIAN WONG SHIR YEE (Ahli Parlimen P. 186 Sandakan)