Isu Semasa

Keluarga dengan bayi 6 hari dihalau dari rumah sewa: ahli Parlimen DAP beri bantuan

Oleh Ghafar NS

Sebuah keluarga India dengan bayi berusia enam hari telah dihalau keluar daripada rumah sewa mereka kerana tidak mampu membayar sewa di Parlimen Kota Melaka baru-baru ini.

Ketua keluarga dengan tiga anak kecil ini sebelumnya bekerja di sebuah kilang besi terpakai yang sebelumnya gaji terpaksa dikurangkan, lalu kemudiannya kilang tersebut terpaksa tamat operasi akibat terkesan dengan situasi negara sekarang.

Pemuda ini yang terdesak sehingga tiada wang untuk membeli makanan, telah meminjam wang daripada bosnya dan kemudian diberhentikan dengan gaji akhir yang telah dipotong lagi menyebabkan tidak cukup wang untuk membayar sewa tertunggak dua bulan.

Setelah dihalau, lima sekeluarga yang malang ini menumpang berteduh di sebuah bengkel kereta.

Ini ternyata bukan lagi satu kes yang luar biasa dalam situasi pandemik dan perintah kawalan pergerakan (PKP) berterusan, kerana sememangnya ramai yang dihimpit dengan pelbagai masalah kewangan sehingga dihalau oleh tuan rumah apabila tidak mampu membayar sewa.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong telah menerima aduan berkenaan keluarga ini dan telah membantu mereka mendapatkan sebuah bilik sementara.

Beliau dalam satu rakaman video menyatakan bahawa akan memastikan mereka mendapat tempat tinggal lebih baik selepas ini kerana memikirkan isteri keluarga malang ini yang baru melahirkan bayi beberapa hari lalu.

Bilik sementara ini juga dilihat selesa dengan tilam dan bantal telah tersedia, menjamin mereka merasakan sedikit kehangatan berbanding tidur di tepi jalan, apatah lagi dengan anak-anak yang masih kecil.

“Sejak Jun kami telah menerima banyak rayuan daripada keluarga yang tidak mampu membayar sewa, lebih-lebih lagi ramai yang sudah tidak bekerja selama tiga bulan.

“Kita mungkin boleh membantu beberapa keluarga yang menghadapi situasi ini, namun malangnya tidak semua dapat dibantu,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) perlu meneliti lebih lanjut masalah yang berpunca daripada pandemik dan PKP ini dengan menyediakan dasar atau bantuan untuk keluarga yang menhadapi kesukaran membayar sewa rumah.

Kerajaan PN boleh mencontohi negara United Kingdom (UK) contohnya yang menyediakan dasar melarang pengusiran penyewa daripada rumah sewa semasa pandemik ini masih lagi belum berjaya diselesaikan.

“Saya faham bahawa masing-masing menghadapi kesukaran sendiri, tetapi saya tetap berharap tuan rumah dapat lebih bertimbang rasa dan cuba bantu-membantu semampu yang boleh.” Tambah Poay Tiong lagi.