Berita

Parlimen medan dengar masalah rakyat, bukan dengar kuliah menteri

Oleh B. Suffian

Parlimen adalah medan mendengar masalah, menyuarakan rintihan dan memulihkan harapan rakyat di samping mencari penyelesaian kepada krisis negara, tegas Pakatan Harapan (PH).

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan berkata, prinsip akauntabiliti dan ketulusan perlu ditegakkan dengan peranan semak dan imbang yang melibatkan semua ahli Parlimen.

Menurutnya, Parlimen bukannya pentas untuk hanya mendengar kuliah menteri tanpa diberi ruang membahas. 

Kenyataan itu mengulas tempoh persidangan Parlimen bermula 26 Julai selama lima hari bagi Dewan Rakyat, dan bermula 3 Ogos selama tiga hari bagi Dewan Negara. 

“Majlis Presiden berpandangan bahawa sidang khas tersebut adalah terlalu pendek…

“Terlalu pendek untuk benar-benar membahaskan perkara-perkara yang telah dititikberatkan Seri Paduka Baginda (Yang di-Pertuan Agong), iaitu Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara,” katanya hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Kenyataan itu menambah, PH turut kesal Kerajaan Perikatan Nasional hanya berniat untuk memberi penerangan berkaitan Pelan Pemulihan Negara Covid-19 tanpa sebarang perbahasan.

Tambahan pula jelasnya, Proklamasi serta Ordinan-Ordinan Darurat hanya akan dibentang dan tidak dibahas mahupun diputuskan. 

“Ini langsung tidak menepati titah pandangan Seri Paduka Baginda,” katanya.

Sekiranya Kerajaan PN masih engkar titah pandangan Seri Paduka Baginda, tambah kenyataan itu, maka persidangan Parlimen kali ini hanyalah satu sandiwara politik dan bagai ‘melepaskan batok di tangga.’ 

Oleh itu, tambah kenyataan tersebut, kerajaan perlu menjemput pihak pembangkang untuk bersama-sama merangka serta mengatur perjalanan sidang khas Parlimen berkenaan, yang mesti mengusahakan penyelesaian agar rakyat Malaysia dapat keluar dari krisis Covid-19 dan ekonomi. 

“Janganlah sehingga pihak pembangkang terpaksa mendesak sidang Parlimen khas yang adil. Kita mesti bersama memerangi Covid-19 untuk menyelamatkan negara, dan bukannya berpolitik untuk melindungi jawatan dan kedudukan,” katanya. – Roketkini.com