Rencana

Situasi Covid-19 kian parah, negara perlu strategi baru

Oleh Lim Kit Siang

(Ahli Parlimen Iskandar Puteri merangkap Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP)

Berdasarkan peningkatan terkini jangkitan Covid-19, Malaysia bakal memintas Jepun dalam jumlah keseluruhan kes Covid-19, 10 hari sebelum pembukaan temasya kejohanan Olimpik Tokyo pada 23 Julai dan dijangka melepasi angka sejuta kes Covid-19 dengan lebih 9,000 kematian menjelang pertengahan Ogos.

Rakyat Malaysia menzahirkan kebimbangan selepas negara merekodkan 7,654 kes baharu Covid-19 dengan 103 kematian semalam, sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes jangkitan dan kematian kini masing-masing mencecah 792,693 kes dan 5,677 kes. Malaysia bakal menyertai senarai 34 negara dengan 800,000 kes menjelang esok (atau hari ini, jika kita merekodkan 7,307 kes baharu).

Ini adalah fakta yang harus dipertimbangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini untuk mengadakan sidang Parlimen yang sewajarnya bersesuaian dengan krisis pandemik Covid-19 yang semakin memburuk di negara ini. 

17 Jun lalu, saya memberikan pandangan peribadi saya tentang keperluan untuk menggerakkan sebuah gerakan kebangsaan yang melibatkan badan Eksekutif, Parlimen dan semua lapisan masyarakat di negara ini, untuk bangkit daripada kegagalan dalam perang melawan pandemik Covid-19. 

Situasi Covid-19 di negara ini semakin memburuk sejak tiga minggu lalu, dengan jumlah kumulatif kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 masing-masing mencecah 678,764 kes dan 4,202 kes pada 17 Jun dan meningkat kepada 792,693 kes dan 5,677 kes semalam. 

Kita harus segera keluar dari senarai negara-negara dengan prestasi terburuk dalam menangani wabak ini kerana negara-negara yang menunjukkan prestasi buruk sebelum ini telah mula memperlihatkan bibit-bibit kejayaan dalam perang melawan Covid-19. Sebagai contoh Amerika Syarikat yang dilihat telah berjaya menurunkan kes jangkitan dan kematian harian Covid-19 masing-masing sebanyak 98% dan 99% daripada kemuncak pada Januari lalu. 

Sudah lebih setahun saya menggesa agar pendekatan dan strategi “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” diterapkan dalam perang melawan Covid-19, namun sehingga hari ini hasrat itu masih belum tercapai. 

Kabinet dan Parlimen yang akan bersidang sebelum 1 Ogos depan harus melancarkan gerakan kebangsaan yang melibatkan semua lapisan masyarakat bagi memenangi perang melawan musuh yang tidak kelihatan ini, dengan mengambil kira pandangan pakar yang menjangkakan pandemik ini akan berpanjangan sehingga penghujung tahun 2024.  — Roketkini.com