Berita, Kenyataan Akhbar

Lantikan TPM, Menteri Kanan tak kenyangkan rakyat

Kenyataan Media Adun Paloh, Sheikh Umar Baghrib Ali pada 8 Julai 2021

Selepas sekitar 6 bulan proklamasi darurat, kes masih terus meningkat. Rakyat terus harapkan ada berita baik dari langkah yang lebih bijak oleh Kerajaan untuk atasi masalah ini.

Agong dan istana terus bertitah agar keselamatan dan nasib rakyat menjadi keutamaan. Ramai yang berlapar, hilang mata pencarian, anak-anak berdepan pembelajaran dalam talian yang merumitkan.

Hari ini, rakyat terus jaga rakyat. Rakyat betul-betul sedang jaga diri mereka sendiri, jaga sesama rakyat. Bendera putih, foodbank, orang perseorangan mahupun NGO terus cakna. Mereka faham makna simpati. Mereka faham erti empati untuk menolong jiran tetangga serta komuniti sekeliling mereka. Ada yang kehabisan barang keperluan dapur, tiada wang lagi untuk membayar hutang piutang. Ketika ini adalah saat paling perit buat rakyat.

Namun sampai hari ini, tiada polisi yang berkesan oleh kerajaan PN. Meskipun pengumuman demi pengumuman dibuat, namun ia tidak dapat dicanai dan dibahaskan sebaiknya mengikut kehendak keperluan rakyat. Sidang parlimen sebagai platform yang menjadi tunjang demokrasi gagal berfungsi sebaiknya bawah pentadbiran PN.

Parlimen yang akan bersidang 26/7/2021 nanti diharap ada perubahan boleh dilakukan terhadap langkah-langkah yang ingin diambil oleh Kerajaan agar ia boleh betul-betul membantu rakyat. Malangnya, pengumuman oleh Pejabat Perdana Menteri berhubung perlantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan yang baru telah memberi gambaran yang salah menjelang sidang.

Apa kena-mengena perlantikan jawatan-jawatan baru dalam kabinet pada saat rakyat lapar dan dikurung ketat di rumah? Apa perlunya perlantikan baru itu dan ini dalam kabinet yang ‘buncit’ sedangkan poket rakyat semakin kempis. Lantikan TPM dan Menteri Kanan hanyalah cerita tentang ‘perut’ orang politik, bukan cerita tentang rakyat. Ia tak mampu pun kenyangkan perut rakyat.

Ini falasi. Gambaran yang salah. Susah sangat kah Kerajaan nak faham?
Saya harap Kerajaan masih ada rasa malu. Ada rasa empati. Paling-paling tidak, malulah kepada rakyat. Yang perutnya terus diikat. Yang ramai depressi, tak kurang juga yang mati bunuh diri.