Berita

MP Klang mohon keadaan di HTAR ditangani

Oleh B. Suffian

GAMBAR: FB Charles Santiago

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago telah mengutus surat kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba agar keadaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang sepertimana dilaporkan sebelum ini, segera ditangani.

Dalam surat tersebut, Charles berkata, memohon Adham memberi peruntukan khas kepada HTAR bagi menyediakan kemudahan logistik sementara dan meningkatkan bantuan peralatan bagi menangani tahap kritikal ketika ini. 

“Tenaga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disarankan untuk dimobilisasikan untuk membina pusat rawatan sementara di Klang. 

“Dalam pada itu, langkah mempertimbangkan penggunaan mana-mana dewan atau hotel-hotel ‘budget’ untuk dijadikan seperti Pusat Kuarantin dan Rawatan pesakit Covid-19 (PKRC) perlu dipertimbangkan. 

“…bagi menyediakan ruang lebih selesa kepada pesakit-pesakit dari daerah Klang dan perlu dilaksanakan dengan kadar segera,” katanya. 

Sebagai Ahli Parlimen Klang, beliau memohon kerjasama pihak Adham untuk melawat bagi meneliti keadaan yang kritikal di HTAR. 

“Atas kerjasama dan jasa baik YB Datuk Seri (Adham) dalam mengambil tindakan segera terhadap permasalahan ini amat dihargai dan saya dahului dengan jutaan terima kasih,” katanya. 

Media semalam melaporkan, penggunaan katil HTAR didapati semakin meningkat apabila terdapat beberapa pesakit terpaksa diletakkan di luar wad kecemasan.

Perkara tersebut tular di laman sosial Facebook apabila ramai pengguna menyatakan agar tidak perlu hadir ke hospital tersebut sekiranya tidak mempunyai sebarang kepentingan. – Roketkini.com