Berita

Naikkan bantuan kebajikan kepada RM1,000 sebulan

Oleh B. Suffian

DAP mengulangi gesaan agar pembayaran bantuan bulanan kebajikan masyarakat dinaikkan kepada RM1,000 bagi membantu golongan memerlukan dan penganggur.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pembayaran itu akan menelan belanja tambahan RM1 bilion setiap bulan.

“Berapa sangatlah tambahan RM1 bilion setiap bulan berbanding dengan kos ‘total lockdown’ sekarang yang dianggarkan berjumlah RM170 bilion oleh pakar ekonomi?” katanya dalam satu kenyataan. 

Menurut Guan Eng yang juga mantan Menteri Kewangan, DAP tidak mencadangkan jumlah yang lebih tinggi sebanyak RM1,500 setiap bulan. 

Jelasnya, ini kerana kenaikan bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000 ini adalah janji yang dibuat oleh Perdana Menteri semasa janji pilihan raya negeri Sabah tahun lalu. 

“Sehingga kini janji ini hanya sekadar janji kosong,” katanya. 

Sebaliknya, beliau berkata, hanya janji-janji seperti melantik timbalan menteri, menteri atau bahkan timbalan perdana menteri yang dilihat ditunaikan. 

“…(Tindakan itu) tanpa memberi sebarang kesan positif kepada negara dalam mengurangkan jumlah tertinggi kes dan kematian Covid-19, proses vaksinasi yang cepat dan lancar serta membantu  pekerja yang terdesak dan perniagaan yang dalam kesusahan,” katanya. 

Beliau menjelaskan, kerajaan tidak seharusnya terperangkap dalam cara pemikiran kewangan yang lama dan ortodoks. 

Tambahnya, kerajaan boleh menggunakan pendekatan yang lebih dinamik ketika negara ini menghadapi krisis yang sekali dalam sejarah ini. 

“Perlu ada siri bantuan kewangan secara berkala demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan, dan mata pencarian. 

“Kaedah lama bantuan ‘one-off’ adalah bantuan kewangan sementara yang tidak akan melindungi mata pencarian ekonomi pekerja biasa dan rakyat Malaysia yang mengalami masalah kewangan,” katanya. – Roketkini.com