Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kerajaan PN digesa bantu tingkatkan daya tahan kesihatan mental rakyat

KENYATAAN MEDIA JAWATANKUASA KESIHATAN PAKATAN HARAPAN 11 Julai 2021

Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan menggesa Kerajaan Persekutuan untuk memberi keutamaan kepada Kesihatan Mental di dalam sektor kesihatan awam. Kerajaan digesa untuk melaksanakan polisi yang perlu sebagai penyelesaian yang sistemik demi untuk menyelamatkan rakyat Malaysia dari tekanan mental akibat daripada pandemik Covid-19. Ini dilihat juga sebagai langkah yang boleh mengelakkan dari terjadinya krisis penyakit mental di negara ini.

Dalam kenyataan rasmi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abdul Jalil Hassan, pada 1hb Julai 2021, pihak polis telah merekodkan 468 kes bunuh diri di Malaysia dalam jangka masa lima bulan pertama pada tahun ini, menunjukkan peningkatan yang signifikan jika dilihat pada jumlah tahunan sebanyak 631 kes pada tahun 2020 dan 609 kes pada tahun 2019. Ini bermakna, sehingga Mei tahun ini, terdapat purata tiga kematian sehari dari kes membunuh diri – semuanya disebabkan oleh ekonomi yang meruncing dan langkah ‘lockdown’ diambil kerana lonjakan kes-kes epidemik Covid 19. Jumlah ini adalah hampir dua kali ganda dari paras 1.7 pada tahun lepas dan tahun 2019.

Dalam sebuah kajian yang melibatkan seramai 1,163 responden oleh Universiti Malaya bertajuk “Escalating progression of mental health disorders during the COVID-19 pandemic” ia menunjukkan penambahan yang konsisten dalam kelaziman simptom-simptom kemurungan, kegelisahan dan tekanan perasaan pada masa empat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berbeza. Paras tertinggi simptom kemurungan dan kegelisahan direkodkan pada 59.2 peratus dan 55.1 peratus masing-masing, di antara bulan Ogos dan September 2020.

Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) merekodkan lebih daripada dua kali ganda pesakit yang memerlukan rawatan berkaitan tekanan perasaan sepanjang tahun 2020 dibandingkan pada tahun 2019.

Pada tahun 2020, satu daripada tiga panggilan yang diterima oleh Befrienders adalah bersifat bunuh diri, dibanding dengan satu daripada 10 panggilan pada tahun 2018. Talian panas psikologi kerajaan pula merekodkan sebanyak 37,709 panggilan diantara bulan April dan September 2020, separuh daripadanya adalah terkait dengan tekanan perasaan yang diburukkan lagi oleh pandemik dan PKP.

Statistik ini jelas menunjukkan kemerosotan keadaan kesihatan mental pada masa negara kita dirundung oleh kegagalan kerajaan sekarang dalam mengawal merebaknya Covid-19. Dengan sebab inilah Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan mendesak agar kerajaan melaksanakan polisi-polisi yang perlu dan segera menggubal undang-undang berikut;

(1) Dekriminalisasi percubaan membunuh diri

Seksyen 309, Kanun Keseksaan, yang menggariskan percubaan membunuh diri sebagai suatu jenayah harus segera dimansuhkan. Begitu juga hukuman keatas mangsa yang terselamat dari percubaan membunuh diri, haruslah digugurkan. Satu moratorium segera perlu diadakan daripada menghukum mangsa yang terselamat dari percubaan membunuh diri ini, sehinggalah undang-undang digubal.

Ini adalah penting dalam memastikan mangsa yang terselamat ini diberi rawatan dan sokongan yang sesuai dan tidak dilayan sebagai penjenayah. Ini membolehkan lebih ramai yang akan tampil untuk menerima rawatan serta stigma yang dikaitkan dengan kesihatan mental akan dilihat secara yang lebih holistik.

(2) Menambah sumber dan mengembangkan sistem kesihatan mental sedia ada supaya menjadikannya lebih berdaya tahan dalam mengurus krisis ini.

Akses yang lebih mudah kepada penjagaan kesihatan mental, melalui pengurangan birokrasi adalah penting. Ini termasuk penggunaan servis tele-kesihatan secara menyeluruh untuk perkhidmatan kaunseling, terapi psikologi, pengurusan perubatan dan intervensi vokasional mestilah diperkembangkan. MENTARI dan servis-servis komuniti yang lain harus diberi lebih ruang untuk menambah jangkauan dan terlibat dengan integrasi semula mereka-mereka yang bermasalah dengan kesihatan mental.Lebih ramai pakar psikiatri, pakar psikologi klinikal dan kaunselor terlatih dari sektor swasta dan awam digembeling dalam membantu dan mencari pendekatan paling ampuh bagi memperbaiki kesihatan mental negara, termasuk meningkatkan kemahiran mereka di dalam Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) supaya mereka juga boleh membantu barisan hadapan yang lelah akibat memerangi pandemik Covid-19 yang berpanjangan.

Mereka juga seharusnya diperkasakan agar dapat melatih lebih ramai orang awam mengenai perkara asas Bantuan Kecemasan Kesihatan Mental. Dengan cara ini anggota masyarakat boleh menjadi “mata dan telinga” dalam membendung kejadian-kejadian yang tidak diingini dalam komuniti mereka.

(3) Pihak Kerajaan juga harus melihat kepada perkara utama permasalahan ini, dengan memberi perhatian kepada teras ekonomi termasuk mengukuhkan sistem keselamatan sosial dan sistem sokongan penggajian.

Langkah-langkah yang menyeluruh, bersasar serta fleksibel dan dapat menyokong golongan yang rentan seperti mereka yang berada di bidang ekonomi sekunder dan di kawasan-kawasan yang terjejas teruk oleh pandemik ini, harus lah dilaksanakan dengan kadar yang segera.

Bantuan kewangan termasuk Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dibawah PEMULIH mestilah diagihkan segera tanpa menunggu sehingga Ogos untuk menangani keperluan ekonomi rakyat yang terdesak. Walaubagaimanapun, sebuah pelan jangkamasa panjang pula harus dirangka untuk memaksimumkan impak rangsangan ekonomi.

Kami sekali lagi mengulangi betapa pentingnya mengurangkan kesan kesihatan mental akibat Covid-19 yang kesnya dilihat kian mencanak dalam bulan-bulan mutakhir ini. Aspek kesihatan mental tidak seharusnya dikesampingkan dalam musim pandemik , krisis yang tidak kelihatan ini, bukan hanya akan memburukkan lagi kesan fizikal Covid 19, tetapi boleh menjadi malapetaka terhadap kesejahteraan negara dan unjuran produktiviti jangka masa panjang.

“MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI”

Anggota Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan :-

YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor, AMANAH)

YB Dr Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng, KEADILAN)

YB Dr Ong Kian Ming (Ahli Parlimen Bangi, DAP)

YB Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli (Ahli Parlimen Lumut, AMANAH)

YB Dr Kelvin Yii (Ahli Parlimen Bandar Kuching, DAP)

YB Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru, KEADILAN)

YB Alice Lau (Ahli Parlimen Lanang, DAP)

YB Dr Siti Mariah Mahmud (EXCO Kerajaan Negeri Selangor)

YB Dr Norlela Ariffin (EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang)

YB Veerapan Supramaniam (EXCO Kerajaan Negeri Sembilan)

YBhg Dr Niekmah Adam (Angkatan Wanita Amanah Negara, AMANAH)

YBhg Dr Zaliha Mustafa (Majlis Pimpinan Pusat, KEADILAN)