Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Pembukaan Parlimen: Strategi baharu perlu dirangka dan dibentangkan

Oleh Ghafar NS

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini berkata, ahli-ahli Parlimen masih belum menerima sebarang makluman berkenaan sidang Parlimen yang akan berlangsung selama lima hari bermula 26 Julai ini seperti yang diumumkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum ini.

Menurutnya yang turut bersetuju dengan pandangan ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin berkata, sidang Parlimen lima hari ini amat tidak patut dan dilihat seolah-olah mahu mengelak sesi pertanyaan dan juga upacara pembukaan Parlimen dengan Titah Diraja.

“Perkara ini menghina demokrasi berparlimen di Malaysia,” tegas Veteran DAP itu.

Malah menurut Kit Siang juga Malaysia telah  menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk di dunia dalam pengurusan pandemik Covid-19 dan berdasarkan kadar jangkitan semasa, Malaysia akan berada antara 30 negara teratas dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi di dunia.

“Amat penting untuk kita wujudkan strategi dan pendekatan baharu bagi menghentikan lonjakan peningkatan kes dan kematian ini, malah harapan untuk masa hadapan rakyat perlu ditingkatkan kembali.

“Telah tiba masa untuk kita merangka, membentang dan meluluskan strategi baharu melawan wabak Covid-19 di Parlimen untuk menggantikan Pelan Pemulihan Negara.

“Kerajaan Muhyiddin perlu melibatkan semua ahli Parlimen termasuk dari kalangan pembangkang dalam strategi ini agar fokus dapat diberikan kepada usaha membuka semula ekonomi secara selamat dan sama-sama belajar untuk hidup dengan wabak ini secara selamat.” Tambahnya dalam satu kenyataan hari ini. – Roketkini.com