Kenyataan Akhbar

Kabinet perlu dengar nasihat TMJ, berhenti berpolitik – Kit Siang

Oleh Aziera NH 

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menegaskan barisan Kabinet perlu mengikut nasihat Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk tidak berpolitik dan fokus kepada krisis kesihatan yang melanda negara.

Kit Siang berkata, kerajaan perlu menjemput semua pemimpin parti politik ke Persidangan Meja Bulat mengenai pandemik Covid-19.

“Dengan mencecah lima angka jumlah kes baharu Covid-19 semalam, Malaysia berada di tempat ke-13 dengan kadar kes baharu tertinggi di dunia.

“…satu ukuran betapa besarnya kegagalan pengisytiharan darurat kerajaan untuk melawan wabak ini, sedangkan dua bulan sebelum darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021, Malaysia berada di tempat ke-85 dari segi jumlah kes terkumpul.

“Kita telah mengatasi 53 negara dan kini berada di tangga ke-32 dengan 855.949 kes Covid-19 dan 6.385 kematian Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Kit Siang, Kabinet yang dipimpin Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah mengecewakan negara dalam perang melawan Covid-19.

Oleh itu, katanya, Muhyiddin harus mengundurkan diri secara terhormat kerana tidak dapat menunjukkan bahawa memiliki sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Namun begitu, Kit Siang berkata rakyat bersedia untuk menolak semua pertimbangan politik untuk memberi fokus kepada krisis kesihatan dan ekonomi yang dihadapi kini.

“Tetapi, rakyat Malaysia bersedia untuk mengetepikan pertimbangan politik untuk menumpukan semua usaha kepada krisis kesihatan dan ekonomi yang dihadapi oleh negara, dengan syarat, Kabinet juga bersedia untuk berbuat demikian,” ujarnya.

Tegas beliau, berdasarkan situasi semasa, persidangan Parlimen adalah sangat penting bukan sahaja bagi Kabinet tetapi juga untuk negara. – Roketkini.com