Berita

Jangan heret DAP dalam pergolakan PN, UMNO

Oleh B. Suffian

Jangan heret DAP ke dalam pergolakan politik Perikatan Nasional (PN) dan UMNO, tegas Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan kononnya wujud Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) antara DAP dan Kerajaan PN bagi memastikan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri melalui pemberian peruntukan RM300,000 bantuan bakul makanan.

Sambil menyifatkannya sebagai tidak benar sama sekali dan tidak masuk akal, Steven berkata, dakwaan seumpama itu juga memperlekeh usaha Ahli Parlimen dalam membantu rakyat yang sedang susah.

Beliau menegaskan, ada peruntukan atau tidak, DAP tetap berkhidmat kepada rakyat.

Menurutnya, beliau dan rakan-rakan Ahli Parlimen DAP dari awal lagi telah berusaha memberi bantuan kepada rakyat sama ada dengan duit poket sendiri atau dana yang disumbang oleh orang awam.

“Sejak bermulanya total lockdown pada 1 Jun 2021, sebelum menerima peruntukan RM300,000 daripada Kerajaan Persekutuan, saya telah pun mengagihkan lebih 1,500 set bantuan makanan kepada penduduk Bukit Mertajam

“Dalam tahun ini sahaja, tanpa peruntukan Kerajaan Persekutuan, dan dengan sokongan orang ramai, saya juga telah mengedarkan 600 komputer riba dan tablet, bantuan Internet percuma…

“(Selain itu), tuisyen percuma, bantuan tunai bulanan kepada pelajar sekolah, khidmat pengangkutan teksi percuma ke pusat pemberian vaksin (PPV) dan pelbagai bantuan lain kepada penduduk Bukit Mertajam,” katanya.

Dalam pada itu, Steven berkata, setiap Ahli Parlimen patut diberikan peruntukan RM4 juta setahun sebagaimana yang diterima oleh ahli Parlimen blok kerajaan.

Kegagalan berbuat demikian tambahnya, merupakan antara kegagalan besar kerajaan PN dalam mengembleng usaha keseluruhan masyarakat (whole-of-society) untuk melawan pandemik Covid-19 dan mengurus kebajikan rakyat ketika penutupan sektor ekonomi.

Ujarnya, kempen bendera putih oleh rakyat yang terpaksa mencari bantuan sendiri jelas membuktikan kegagalan kerajaan sedia ada, walaupun cuba diperlekeh oleh para menteri.

“Jangan memperalatkan bantuan kepada rakyat melalui peruntukan kawasan Parlimen untuk jual beli talian hayat politik Perdana Menteri dan Kerajaan PN,” katanya. – Roketkini.com