Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kerajaan PN perlu cari pendekatan mesra rakyat dalam program vaksinasi

oleh Ghafar NS

Dalam satu kenyataan pada 15 Julai 2021, Adun Derga, Tan Kok Yew menggesa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mempercepat proses suntikan vaksin pada rakyat Malaysia dan lebih mesra rakyat.

Antara isu yang timbul sepanjang kempen “Jom Daftar Vaksin” dilancarkan di DUN Derga yang perlu diberi perhatian oleh Kerajaan PN adalah:

  1. Ramai warga emas, golongan rentan dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang masih tercicir di Fasa ke-2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ini kerana pelbagai masalah dan kekurangan yang mereka hadapi.
  2. Tidak dapat mengemas kini aplikasi MySejahtera walaupun telah dicuba beberapa kali hingga menimbulkan kebimbangan apabila ramai golongan lebih muda telah mendapat tarikh vaksinasi.
  3. Timbul kekeliruan dan kemarahan orang ramai apabila ada sesetengah yang hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk mencuba nasib mendapatkan vaksin diberi suntikan, namun ada yang ditolak.

Menurut Kok Yew yang juga merupakan Pengerusi DAP Kedah, laporan daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menunjukkan hanya 319,785 orang penduduk Kedah telah menerima dos pertama vaksin walaupun jumlah yang mendaftar telah mencecah 1 juta orang.

Kegagalan Kerajaan PN membekalkan vaksin secukupnya kepada setiap negeri perlu diatasi selain memastikan sistem pemberian vaksin itu juga ditambah baik agar tidak menimbulkan kebimbangan lalu menyukarkan rakyat.

Kok Yew mencadangkan dua pendekatan yang lebih mesra rakyat seperti berikut:

  1. Guna kemudahan sedia ada seperti klinik kesihatan kawasan atau klinik swasta sebagai PPV komuniti.
  2. Jalankan program “outreach” melalui PPV bergerak ke kawasan perumahan atau perkampungan secara langsung, tanpa menyusahkan rakyat. Terutama sekali bagi warga emas dan OKU.

Tambah Kok Yew lagi ini boleh dilakukan dengan menggunakan khidmat struktur kemasyarakatan seperti wakil-wakil rakyat, Ahli Majlis, Pegawai Daerah, Penghulu, Kumpulan Rukun Tetangga (KRT) atau melalui kerjasama persatuan penduduk kawasan.

Pasukan PPV, katanya boleh memberi notis pada pihak yang bekerjasama supaya ia dapat diumumkan atau borang diedarkan untuk diisi rakyat yang sudi menerima vaksin dan proses seterusnya dapat berjalan dengan lebih mudah serta teratur.

“Saya percaya kaedah ini dapat menyelesaikan masalah yang terjadi dan dapat
melancarkan proses vaksinasi selain tidak perlu menyusahkan golongan yang berkaitan.” Katanya. – Roketkini.com