Berita, Kenyataan Akhbar

DAP WPKL tawar khidmat pro bono pada aktivis protes #KeluardanLawan

oleh Ghafar NS

Pasukan guaman DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sedia memberi khidmat pro bono kepada tiga aktivis Sekretariat Solidariti Rakyat yang dikenakan kompaun RM2,000 setelah menyertai protes #KeluardanLawan pada Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata kompaun yang dikenakan ke atas tiga aktivis tersebut adalah tidak wajar dan disebabkan itu DAP WPKL sedia menawarkan khidmat untuk mencabar kompaun ini di mahkamah.

Sebab denda kompaun yang dikenakan disifatkan sebagai perkara tidak demokratik dan tidak munasabah:

  1. “Flash mob” yang dijalankan kumpulan tersebut bersifat himpunan aman dan tidak mengganggu orang awam.
  2. Prosedur operasi standard (SOP) PKP serta jarak sosial mereka terjaga dan dapat dilihat melalui gambar-gambar mereka.
  3. Rakyat berhak dan bebas untuk menyuarakan pendapat atau menyertai himpunan aman, selagi SOP dipatuhi.

“Rintihan masalah dan keluh kesah rakyat tidak dapat diutarakan dan dibincangkan kerana Parlimen ditutup.

“Oleh itu, protes ini dilihat sebagai salah satu cara yang boleh memastikan suara rakyat didengari.” Tambah Lip Eng dalam kenyataannya hari ini.

Beliau juga berkata khidmat guaman pro bono ini ditawarkan kepada para aktivis berkenaan adalah bagi memastikan tiada layanan dua darjat dikenakan ke atas mereka.

“Rakyat tidak puas hati dengan layanan diberikan kepada golongan Menteri dan wakil pihak kerajaan apabila mereka didapati melanggar SOP.

“Kertas siasatan dibuka dan perbincangan penghukuman dilanjutkan dengan lamanya, sehingga akhirnya saman yang mereka dapat juga jumlahnya sedikit jika hendak dibandingkan dengan rakyat biasa yang disaman kerana melanggar SOP,” katanya.

Tambahnya juga, tiada sebab untuk rakyat dihukum atas hak mutlak mereka bersuara atas kegagalan kerajaan, lebih-lebih lagi apabila dapat dilihat bahawa SOP dipatuhi dengan ketat. – Roketkini.com