Berita

Jangan buat lockdown secara ‘borong’ lagi

Oleh Roketkini

Kerajaan digesa tidak lagi membuat ‘lockdown secara borong’ bagi mengelakkan rakyat daripada terus menderita, tegas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua.

Beliau berkata, kerajaan sebaliknya perlu menggunakan sains dan data bagi mengawal pandemik Covid-19 dalam bidang ekonomi.

Menurutnya, ia boleh dilakukan dengan memberi status quo kepada setiap perniagaan dan seterusnya memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) mengikut risiko.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini hanya tahu satu cara sahaja atau ‘one-trick pony’ iaitu lockdown. Ada masalah tutup semua, ada masalah tutup semua.

“Tetapi secara jelas kita lihat hari ini, bagaimana ketat pun ditutup kalau penularan virus di luar sudah banyak, ia tidak dapat dikawal secara lockdown sahaja,” katanya.

Tony menambah,  premis-premis perniagaan yang berisiko tinggi perlu diperketatkan SOP mereka agar jangkitan Covid-19 menurun.

“Janganlah kita tutup restoran-restoran kecil di mana jangkitan kurang namun kena tutup berbulan-bulan yang mengakibatkan masalah ekonomi hari ini,” katanya.

Jelasnya, status risiko setiap aktiviti atau perniagaan perlu dikaji sebelum sebarang tindakan seterusnya dilakukan.

Melihat ke hadapan, beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, kerajaan perlu menjalankan ujian Covid-19 dengan lebih banyak  supaya kadar positif boleh diturunkan kepada kadar lima peratus.

Beliau berkata, jumlah ujian perlu digandakan iaitu daripada 120,000 kepada 240,000 setiap hari supaya jumlah kes yang tidak diuji dapat dikawal agar hospital tidak sesak sepertimana berlaku sekarang. 

Sementara itu, beliau turut membangkitkan isu kelewatan ketibaan vaksin Covid-19 ke Malaysia yang dilihat menyerlahkan kegagalan Kerajaan PN.

Beliau berkata demikian dalam program dalam talian kelmarin bertajuk ‘Krisis Covid-19: Kerajaan Gagal’ yang turut disertai Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii dan Pengarah Komunikasi Research For Social Advancement (REFSA), Raja Ahmad Iskandar Fareez dengan Thulasi Manogaran sebagai moderator.