Kenyataan Akhbar

KPM, KPT perlu bentang situasi dan pelan pendidikan di Parlimen

KENYATAAN MEDIA JAWATANKUASA PENDIDIKAN PAKATAN HARAPAN PADA 21 Julai 2021

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mengambil maklum pengumuman Yang DiPertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat berkaitan Persidangan Khas Parlimen yang akan diadakan mulai 26 Julai 2021 sehingga 2 Ogos 2021 berdasarkan notis aturan mesyuarat yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat bagi memaklumkan agenda Persidangan Khas Parlimen kepada semua Ahli Parlimen.

Walau bagaimanapun, JKPPH amat berdukacita apabila dalam aturan tersebut hanya pembentangan dalam bentuk penerangan Menteri mengenai perancangan kerajaan terkait dengan Program pencegahan Covid-19, Program Vaksinasi, Darurat, dan Pelan Pemulihan Negara sahaja yang dijadualkan dalam tempoh 5 hari persidangan khas tanpa adanya pembentangan mahupun perbahasan berkaitan keadaan pendidikan negara di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Sidang ini amat penting untuk rakyat melalui Ahli Parlimen mereka mengetahui perancangan Kerajaan berhubung isu pendidikan melalui pembentangan situasi pendidikan negara dan perancangan yang telah dirangka oleh pihak KPM dan KPT. JKPPH berpandangan isu pendidikan negara sama ada melibatkan sekolah mahupun universiti di kala wabak Covid-19 sama pentingnya dengan isu kesihatan, keselamatan dan ekonomi serta seharusnya diangkat sebagai agenda dalam persidangan khas ini.

Sehubung dengan itu, JKPPH menuntut agar:

1. Persidangan Khas Parlimen yang akan berlangsung selama 5 hari ini memasukkan pembentangan perancangan KPM dan KPT sebagai antara agenda mesyuarat.

2. Ahli Parlimen perlu diberikan ruang untuk bertanya, berbahas dan memberikan pandangan terhadap perancangan yang telah dibentangkan oleh KPM dan KPT, bagi menghormati peranan Parlimen sebagai badan semak imbang tertinggi negara.

JKPPH ingin menegaskan bahawa rakyat telah hilang keyakinan kepada kerajaan kerana KPM dan KPT di waktu ini dilihat sebagai kehilangan arah dan hala tuju dalam menguruskan sistem pendidikan negara. Ketiadaan pembentangan dari kedua-dua kementerian ini di dalam sidang khas Parlimen hanya akan menguatkan lagi pandangan tersebut.

“MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI”

Anggota Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan:

YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi JK Pendidikan Pakatan Harapan (Ahli Parlimen Simpang Renggam)

YB Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa, KEADILAN)

YB Datuk Dr Hasan Bahrom (Ahli Parlimen Tampin, AMANAH)

YB Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai, DAP)

YB Natrah binti Ismail (Ahli Parlimen Sekijang, KEADILAN)

YB Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam, DAP)

YB Rusnah Aluai (Ahli Parlimen Tangga Batu, KEADILAN)