Berita

Covid-19: DAP kemuka kertas posisi dasar untuk bawa negara ke depan

Oleh Roketkini

DAP mengemukakan kertas posisi dasar bertajuk ‘Mempersiapkan Malaysia Ke Arah Hidup di Samping Covid-19’ untuk membawa negara ke depan di tengah-tengah pandemik ketika ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, virus tersebut dijangka hidup bersama dalam masyarakat dalam jangka masa panjang, terutama dengan kewujudan dan peningkatan dominasi mutasi varian Covid-19.

Selaras dengan perkembangan global, beliau menjelaskan, DAP mencadangkan satu anjakan paradigma, beralih daripada sasaran pengurusan pandemik ‘sifar Covid-19’ dan sekatan penuh (lockdown) kepada ‘hidup di samping Covid-19’ dan lockdown bersasar. 

“Sebagai contoh, kita perlu melihat situasi 25,000 kes positif Covid-19 tanpa pesakit unit rawatan rapi (ICU) atau kematian, sebagai satu kesan yang lebih baik berbanding 5,000 kes positif dengan 100 di ICU dan 20 kematian. 

“Apa yang diutamakan bukan semestinya pendekatan yang akan mengurangkan jumlah keseluruhan jangkitan, tetapi pendekatan yang akan mengurangkan secara drastik bilangan kes Covid-19 yang teruk dan kematian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menjelaskan, normal baharu bukan berkenaan hidup secara berterusan dengan lockdown menerusi pelbagai bentuk perlaksanaannya.

Menurutnya, normal baharu adalah bagaimana Malaysia menggunakan pendekatan-pendekatan untuk meminimum dan mengurangkan kehadiran dan kesan Covid-19 dalam kalangan masyarakat dalam masa sama, membuka kebanyakan atau kesemua aktiviti sosial dan ekonomi. 

Kata beliau, DAP mencadangkan satu strategi komprehensif dalam usaha mitigasi pandemik serta membolehkan ‘kehidupan di samping Covid-19’ merangkumi:

1. Kawal dan kurangkan gelombang jangkitan semasa.

2. Kesediaan untuk menghadapi wabak pada masa depan

3. Membuka sektor sosial dan ekonomi dengan pendekatan yang selamat.

4. Strategi jangka masa sederhana dalam menguruskan Covid-19

Guan Eng yang juga mantan Menteri Kewangan berkata, cadangan-cadangan ini juga berperanan sebagai batu asas untuk membuka laluan kepada reformasi struktur jangka panjang, yang Malaysia kini sangat memerlukan.

“Lockdown penuh mempunyai kesan buruk kepada ekonomi kita dengan kerugian sejak MCO 1.0 sehingga sekarang dianggarkan sekurang-kurangnya, RM500 bilion,” katanya. – Roketkini.com