Berita

‘Malaysia mampu melakukan yang lebih baik’

Oleh Roketkini

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menyeru agar ‘Impian Malaysia’ dihidupkan semula untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia. 

Tegasnya, kakistokrasi dan pencapaiannya yang sederhana tidak semestinya dan selamanya menjadi takdir bagi Malaysia. 

Menurut beliau, Malaysia menjadi tempat pertemuan empat tamadun manusia yang hebat iaitu Melayu/Islam, Cina, India dan Barat.

“Malaysia mampu melakukan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau menjelaskan, Malaysia kini menjadi negara ketujuh teratas di dunia untuk kes baharu harian Covid-19, tewas dengan India, Indonesia, United Kingdom, Iran, Rusia dan Brazil.

Tambahnya, rekod terbaru menunjukkan bahawa negara telah mengalahkan Amerika Syarikat (AS)– yang selama setahun dianggap sebagai negara dengan prestasi terburuk di dunia. 

“Begitu teruk rekod Malaysia,” katanya. 

Sejak tiga bulan lalu, beliau berkata, tanda pagar #kerajaangagal telah terbukti menjadi catatan peristiwa kakistokrasi yang semakin buruk di Malaysia. 

Ujarnya, ini di mana negara ini melonjak menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk dalam pandemik Covid-19.

Semasa kenyataan media #kerajaangagal pertama ditulis pada 18 April, tambahnya, negara merekodkan kes baharu harian sebanyak 2,195 kes dan jumlah kumulatif sebanyak 375,054 kes. 

Semalam, kata beliau, kes baru harian kita mencatatkan puncak baru sebanyak 17,045 kes dengan jumlah kumulatif sebanyak 1,013,438 kes. 

“Pada 18 April, angka kematian harian akibat Covid-19 adalah seramai lapan orang dengan jumlah kematian terkumpul seramai 1,378 orang. 

“Semalam, kematian baharu harian Covid-19 adalah seramai 92 orang dan jumlah terkumpul seramai 7,994 orang,” katanya. – Roketkini.com