Berita, Kenyataan Akhbar

Rina Harun harus lebih cakna keperluan ibu, kanak-kanak – Hannah Yeoh

Oleh Ghafar NS

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Rina Harun digesa agar lebih cakna akan keperluan kanak-kanak, khususnya bagi keluarga yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata pandemik ini telah menjejaskan segmen terpenting dalam institusi kekeluargaan iaitu kanak-kanak, apabila keperluan seperti susu dan lampin pakai buang sukar disediakan keluarga yang terjejas.

Menurut Hannah, ini dapat dilihat menerusi inisiatif ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke yang membuka permohonan kepada keluarga yang memerlukan sumbangan susu dan lampin pakai buang mendapati, hanya dalam tempoh 12 jam selepas permohonan itu dibuka, sebanyak 1,308 permohonan diterima dari seluruh negara!

“Ini membuktikan bahawa pandemik Covid-19 ini bukan sahaja memberi kesan kepada sektor ekonomi dan pekerjaan, malahan institusi keluarga terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil,” kata Hannah dalam satu kenyataan hari ini.

Hannah, setelah mendapati inisiatif Anthony amat membantu keluarga-keluarga yang terjejas, telah turut sama menjalankan inisiatif ini bagi membantu keluarga terkesan di Kuala Lumpur dengan memberikan bantuan susu dan lampin pakai buang.

“Agihan sumbangan ini telah sama-sama dijayakan bersama Wanita DAP Kuala Lumpur kepada ibu dan kanak-kanak yang terkesan di Kampung Datuk Keramat, Titiwangsa,” tambahnya.

Hannah turut menegaskan, situasi meruncing hari ini memerlukan Menteri KPWKM, Rina Harun untuk segera membantu ibu bapa dan kanak-kanak yang terjejas, serta tidak hanya bertumpu kepada bantuan bakul makanan kering sahaja. – Roketkini.com