Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

PAC cadang kerajaan tetapkan harga siling vaksin Sinovac segera

Oleh Aziera NH 

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan kerajaan menetapkan harga siling vaksin COVID-19 jenis Sinovac di pasaran.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, langkah itu perlu bagi memastikan vaksin dijual pada harga berpatutan, sekali gus tidak membebankan rakyat.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga perlu mengumumkan harga siling vaksin berkenaan dengan segera.

“Penetapan harga siling yang meliputi harga vaksin oleh Pharmaniaga serta kos yang dikenakan oleh klinik atau hospital swasta adalah amat perlu supaya harga pemvaksinan adalah pada tahap wajar dan tidak membebankan rakyat.

“Jawatankuasa mengambil maklum bahawa kerajaan akan membenarkan penjualan vaksin Covid-19 di pasaran terbuka bermula Ogos depan dan adalah penting supaya harga siling untuk pemvaksinan ditetapkan dan diumumkan kepada rakyat dengan segera.

“Jawatankuasa ini juga mengambil maklum harga untuk pemvaksinan Covid-19  sudah mula dipromosikan dan harga yang ditetapkan adalah tinggi berbanding harga yang sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas prosiding perolehan vaksin Covid-19 dan penggunaan dalam kalangan rakyat negara ini, Kah Woh berkata, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin selaku Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19  Kebangsaan (PICK) hadir pagi semalam bagi memberi penjelasan di hadapan jawatankuasa untuk kali kedua.

Katanya, prosiding terbabit yang bermula pada jam 10.30 pagi dan berakhir pada jam 1 tengah hari turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir dan Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Teknologi MOSTI, Dr Mohd Noor Azman Hassan.

“PAC akan meneruskan prosiding berhubung isu ini esok dengan memanggil Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Pada minggu hadapan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan hadir di hadapan PAC bagi memberikan keterangan berhubung prosiding sama,” katanya. – Roketkini.com