Uncategorized

DAP serah Kertas Posisi kepada TPM

Oleh B. Suffian

Kertas Posisi DAP bertajuk ‘Mempersiapkan Malaysia Ke Arah Hidup Di Samping Covid-19′ yang diterbitkan pada 25 Julai lalu, telah diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Delegasi diketuai Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan dianggotai ahli-ahli Parlimen DAP, Tony Pua (Damansara), Dr Ong Kian Ming (Bangi) serta Steven Sim (Bukit Mertajam) telah mengunjungi Ismail Sabri dan menyerahkan kertas kerja berkenaan pada petang semalam.

Ismail Sabri juga merupakan anggota utama dalam Majlis Keselamatan Negara yang telah ditugaskan untuk mengatasi krisis pandemik Covid-19.

Tony memberitahu, Guan Eng telah menegaskan beberapa dasar utama yang perlu dilaksanakan secepat mungkin dalam perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri tersebut.

“Kami berpendapat bahawa suasana suram di Malaysia hari ini mencerminkan kegagalan dan kurangnya keberkesanan pelbagai kaedah ‘lockdown’ yang dilakukan kerajaan. 

“Penyambungan lockdown yang telah berlangsung berbulan-bulan ini telah dilakukan dengan kepercayaan yang salah bahawa penularan virus ini dapat dihapuskan sepenuhnya hanya dengan melakukan sekatan pergerakan. 

“Lockdown bersambung-sambung ini sekarang terbukti tidak berkesan, terutamanya apabila virus telah mencapai tahap kritikal tertentu dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, jelas Tony, pihak DAP telah mengesyorkan supaya pelonggaran dibuat dengan serta-merta di mana semua sektor sosial dan perniagaan kecil dan sederhana yang berisiko rendah dibenarkan untuk beroperasi semula dengan syarat-syarat SOP yang wajar dan tidak melampau. 

Bagi majikan-majikan yang lebih berisiko, tambahnya, mereka boleh dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat, termasuk keperluan pekerja-pekerja untuk divaksinasi dan ujian saringan dibuat secara berjadual. 

“Kami juga telah memohon supaya kaedah sektor ‘essential’ atau ‘non-essential’ tidak lagi digunakan, dan ia perlu gantikan dengan kaedah pengawalan mengikut tahap risiko majikan dan tempat kerja,” katanya.

Selain itu, tambahnya, delegasi tersebut juga telah menyeru supaya kerajaan menambahkan lagi ujian saring bersasar dengan lebih banyak kerana kadar saringan pada masa ini masih tidak mencukupi, walaupun ia telah meningkat dalam dua minggu kebelakangan ini.

Menurutnya, kadar positiviti ujian saringan Covid-19 melebihi 10 peratus sekarang adalah lebih daripada dua kali ganda saranan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). 

“Lain-lain cadangan telahpun disampaikan melalui kertas posisi DAP yang bermukasurat tiga puluh,” katanya. – Roketkini.com