Berita, Rencana

Penggunaan rawatan Covid-19 harus berdasarkan data, sains

Kenyataan media bersama oleh Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Lee Boon Chye Dan Dr Kelvin Yii pada 29 Julai 2021:

Kami menegaskan bahawa penggunaan mana-mana jenis rawatan untuk Covid-19 haruslah berdasarkan data dan sains yang diperolehi melalui ujian klinikal yang dijalankan dalam prinsip “evidence-base medicine”.

Ini termasuk kelulusan penggunaan Ivermectin untuk rawatan Covid-19 yang haruslah berdasarkan data-data yang yang dikumpul melalui “randomised clinical trials” yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga di seluruh dunia. 

Namun, kajian sistematik yang lebih baru diterbitkan semalam oleh Cochrane Collaboration yang menganalisis semua data yang ada sehingga 26 Mei telah menyimpulkan bahawa secara keseluruhannya, bukti kukuh yang sedia ada tidak menyokong penggunaan ivermectin untuk rawatan dan pencegahan Covid-19, melainkan di dalam konteks suatu kajian yang rapi dan teratur.

Tinjauan sistematik yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan British yang menganalisis semua data sehingga 1 Mac mendapati bukti untuk faedah Ivermectin adalah “kepastian yang sangat rendah” kerana kekurangan metodologi dan ukuran kecil kajian yang terlibat.

Oleh itu, kelulusan mana-mana rawatan Covid-19 termasuk Ivermectin haruslah melalui process ujian klinikal yang spesifik dan sebarang keputusan haruslah berdasarkan data, sains yang ada serta mengambil kira kesan sampingan terhadap pengguna. 

Kita haruslah meneliti data-data yang keluar termasuk hasil ujian klinikal oleh KKM yang dijangka siap pada bulan September.

Kami menggesa rakyat Malaysia untuk meyakini vaksin Covid-19 telah menunjukkan kesannya mengurangkan kadar jangkitan dan kematian, seperti yang berlaku di Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini.

YB Datuk Seri Dr Haji Dzulkefly bin Ahmad

Ahli Parlimen Kuala Selangor

YB Dr. Lee Boon Chye

Ahli Parlimen Gopeng

YB Dr. Kelvin Yii Lee Wuen

Ahli Parlimen Bandar Kuching — Roketkini.com