Kenyataan Akhbar

Segera selamatkan nyawa pekerja kilang semikonduktor di Utara Johor

Kenyataan Media Bersama oleh Ee Chin Li, ADUN Tangkak, Ng Yak Howe, ADUN Bentayan dan Lim Guan Eng, AJK DAP Johor pada 29hb Julai 2021

Sebanyak 15 kematian akibat COVID-19 sejak kes pertama dilaporkan sekitar pertengahan bulan Jun lalu membabitkan sebuah kilang pembuatan, STMicroelectronics (STM) di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas, Tangkak, Johor.

Kadar kes positif yang dikesan dalam kalangan pekerja dilaporkan melebihi 400 kes. Laporan ini mendatangkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat memandangkan pihak STM dan Pejabat Kesihatan Daerah masih belum tampil mendedahkan maklumat kepada umum kes semasa dan langkah unruk mengawal jangkitan wabak berkenaan.

Terdapat banyak laporan yang timbul sejak kes COVID-19 pertama kali dilaporkan berlaku di STM pada 30 Mac 2020 lalu. Laporan berkenaan menyatakan jangkitan meluas dalam kalangan pekerja hampir setiap minggu. Pada 9 Julai 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kewujudan kluster yang dinamakan sebagai “Kluster Persiaran Agas” (nama kluster diambil mengikut alamat kilang STM) dengan menyaksikan sebanyak 18 kes positif bagi pusingan pertama saringan dilaksanakan. [1]

Terkini, kita diberitahu bahawa jangkitan wabak dalam kalangan pekerja telah mencecah 400 orang tidak termasuk rantaian membabitkan keluarga, kawan dan kenalan yang dijangkiti secara tidak langsung.

Sejumlah besar pekerja dari bahagian pengeluaran telah bertugas di premis kilang tersebut sejak tahun lalu secara berterusan meskipun terdapat segelintir daripada mereka yang bekerja dari rumah. Proses nyahkuman hanya dilaksanakan setelah kilang berkenaan menghentikan operasinya separuh hari setelah terdapat kes positif disahkan.

Umum perlu mengetahui bahawa STMicroelectronics adalah syarikat pembuatan semikonduktor multinasional gergasi yang disenaraikan New York Stock Exchange (NYSE: STM). Kumpulan ini telah mencatatkan prestasi   kewangan yang selesa dalam tempoh dua tahun ini meskipun perlu berhadapan dengan krisis pandemik global. Merujuk kepada Laporan Tahunan 2020, pendapatan bersih STM bernilai USD 1.11 bilion dengan hasil dicatatkan berjumlah USD 10.2 bilion. Nilai STM pada pasaran semasa adalah berjumlah USD 30 bilion bersamaan dengan RM125 bilion [2], melebihi nilai Maybank iaitu syarikat terbesar yang disenaraikan di Malaysia.

Kami percaya bahawa gergasi semikonduktor seperti STM ini perlu tampil menterjemahkan semangat tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui usaha menyelamatkan nyawa para pekerja yang menjadi tulang belakang keberhasilan dan keuntungan mereka. Malah, usaha CSR tersebut juga wajar disumbangkan kepada masyarakat setempat di sekitar Tangkak dan Muar, Johor untuk melawan pemularan wabak COVID-19.

Namun begitu, kegagalan STM mengambil langkah proaktif amat mengecewakan bukan sekadar menyumbang kepada masyarakat malah kiga dalam menjelaskan situasi sebenar tatkala beratusan pekerja mereka telah dijangkiti dan meragut nyawa 15 orang daripadanya. Kami turut difahamkan oleh mereka yang berada di barisan pengeluaran STM bahawa operasi masih berjalan seperti biasa. Sehubungan itu, kami menggesa agar pengurusan tertinggi STM meneliti semula dengan serta-merta dan memperkasa dasar syarikat serta usaha untuk melawan penularan wabak COVID-19 bagi mengawal situasi tersebut bertambah buruk.

Kami juga mendesak agar pihak STM segera mendedahkan kepada umum langkah pengurangan bagi mengekang penularan wabak termasuk langkah yang telah diambil dengan memastikan jarak fizikal antara pekerja pengeluaran, amalan nyahcemar, langkah perlindungan kepada pesakit komorbiditi, perkembangan proses vaksinasi dan pelan operasi perniagaan. STM juga wajar mempertimbang bantuan dan pampasan setimpal kepada waris pekerja yang meninggal diragut nyawa akibat dijangkiti ketika bertugas. Kami mendesak maklum balas  segera daripada STM terhadap pertanyaan dan permintaan tersebut.

Dalam pada itu, pengurusan STM juga perlu bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah bagi memastikan perkongsian maklumat yang jelas dan segera serta tindakan tuntas bagi mengekang penularan wabak. Pengurusan STM juga perlu melibatkan kesatuan / wakil pekerja di dalam membuat keputusan secara bersama untuk meredakan keadaan.

Diakui bahawa STM telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat malah menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada warga utara Johor dari Muar, Tangkak dan Segamat. Namun begitu, wabak COVID-19 yang sedang mengganas kini di seluruh negara manakala Kluster Persiaran Agas pula menyerang masyarakat di utara Johor.

Kami mendesak KKM dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk segera tampil bersama untuk menyiasat dan mengambil peranan seterusnya membantu STM untuk memutuskan rantaian jangkitan bagi menyelamatkan nyawa pekerja dan masyarakat setempat yang kini dalam kebimbangan. – Roketkini.com