Isu Semasa

Kerajaan PN pentingkan diri, sanggup lakukan apa sahaja demi kuasa – Howard

Oleh Aziera NH

Apa yang berlaku di Parlimen semalam jelas membuktikan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pentingkan diri dan akan melakukan apa sahaja demi menyelamatkan kuasa mereka tanpa mempedulikan nasib rakyat dan titah Yang di-Pertuan Agong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How berkata, ini berhubung pembatalan Ordinan Darurat oleh Kerajaan PN yang dilaporkan tidak mendapat perkenan dari YDPA. 

Menurut Howard, pembatalan Ordinan Darurat seperti yang dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 26 Julai dibaca degan kenyataan media pada 14 Julai lalu bahawa setiap keputusan kerajaan dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri. 

Howard menyimpulkan, penderhakaan kerajaan dibuat secara bersama oleh sembilan ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), lapan ahli Parlimen UMNO, tiga ahli Parlimen Pas yang merupakan tiga parti terbesar Melayu serta disokong parti komponen PN.  

“Sikap biadab kerajaan PN semakin terserlah. Setelah YDPA bertitah, tiada seorang pun pemimpin besar PN, sama ada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin atau Takiyuddin atau Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang meminta maaf memohon ampun kepada Seri Paduka. 

“Ini setelah mereka menyebabkan rasa amat dukacita dengan perbuatan mereka berhubung isu darurat.

“Lebih memburukkan keadaan ialah apabila kenyataan media pada petang hari ini dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri yang ‘menjawab’ titah Seri Paduka. Malah, nada kenyataan itu seolah-olah mahu menyalahkan pula Istana Negara,” katanya dalam satu kenyataan. – Roketkini.com