Isu Semasa

MP Pembangkang tidak pernah setuju tangguh Parlimen jika ada kes Covid-19 

Oleh Aziera NH 

Ahli Parlimen pembangkang tidak pernah bersetuju untuk menangguhkan Parlimen jika ada kes Covid 19 di Parlimen, tegas Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook.

Menurut Anthony, pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat pada pagi Isnin, 26 Julai, beliau telah menghadiri mesyuarat tersebut mewakili DAP manakala YB Saifudin Nasution mewakili Keadilan dan YB Dr Dzul mewakili Amanah.

“Kami bertiga senada bahawa mesyuarat Persidangan Parlimen mesti diteruskan dengan mengambil kira langkah-langkah SOP yang telah dijalankan seperti saringan sebelum sidang untuk semua Ahli Parlimen.

“Saya juga mencadangkan supaya kalau ada kebimbangan, kami sanggup membuat ujian saringan setiap minggu dan sekiranya ada Ahli Parlimen yang didapati positif, maka beliau dikuarantinkan secara terus,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya semalam. 

Jelasnya, saringan ujian yang melibatkan lebih 1000 orang telah diadakan di Parlimen pada hari Khamis lalu dan kadar positiviti hanya 1% dan adalah tidak wajar untuk menutup terus Parlimen selama 2 minggu.

“Saya menganggap kenyataan Tan Sri Noor Hisham bahawa wakil pembangkang bersetuju dengan penangguhan Parlimen adalah kenyataan yang mengelirukan orang ramai,” jelasnya. – Roketkini.com