Berita

Pengumuman UMNO: Parlimen perlu bersidang selewat-lewatnya 16 Ogos

Oleh B. Suffian

Parlimen perlu bersidang semula selewat-lewatnya pada 16 Ogos untuk mengungkai keenam-enam Ordinan Darurat. 

Langkah itu juga membolehkan Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan sama ada beliau mempunyai kepercayaan majoriti ahli-ahli Parlimen. 

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Sing berkata, ini selepas pengumuman daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang menarik sokongan UMNO kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. 

“Selepas seruan berkali-kali daripada Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu pada 16 Jun 2021 supaya Proklamasi Darurat, Ordinan Darurat, dan Pelan Pemulihan Negara dibentangkan dan dibahas di Parlimen…

“…sidang khas Parlimen selama lima hari untuk Dewan Rakyat dan tiga hari untuk Dewan Negara dijadualkan bermula pada 26 Julai, tetapi, tidak ada sebarang perbahasan mengenai Proklamasi Darurat atau Ordinan Darurat. 

“Amat malang sekali, apabila sidang khas ini pun digantung pada 29 Julai atas alasan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Kit Siang berkata, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah tidak boleh menjadi alat politik kerajaan Muhyiddin. 

Menurut beliau, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat perlu bersidang segera dalam mesyuarat tergempar untuk membincangkan pelanggaran keistimewaan Parlimen dan undang-undang yang amat serius di mana ahli-ahli Parlimen dihalang daripada menjalankan tanggungjawab mereka pada 2 Ogos 2021. – Roketkini.com