Uncategorized

Hannah hulur sumbangan pada petugas menguruskan jenazah Covid-19 di KL

oleh Ghafar NS

Belakangan ini, jumlah kematian disebabkan Covid-19 mencecah 200 orang mangsa setiap hari. Selain pegawai perubatan di hospital yang pastinya terkesan dengan jumlah kes harian baharu dan kematian yang tinggi ini, mereka yang menguruskan jenazah Covid-19 ini juga menggalas bebannya.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, beliau tidak dapat membayangkan cabaran fizikal dan juga mental yang dihadapi para petugas yang menguruskan jenazah mangsa Covid-19, lebih-lebih lagi dengan jumlah yang ramai sekali gus.

Setelah mendapat makluman berkenaan 28 petugas jenazah mangsa Covid-19 di Kuala Lumpur yang meminta bantuan sehelai pakaian kerana setiap hari perlu bermandi peluh dengan menyarungkan PPE, Hannah berkesempatan bertemu dengan wakil petugas Tabung Khairat Kematian, Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah pada 5 Ogos 2021.

Hannah mewakili Pejabat ahli Parlimen Segambut telah menyerahkan tiga helai baju serap peluh dan sedikit sumbangan kewangan bagi meringankan tugas mereka yang setiap hari menguruskan sekitar 10 hingga 20 jenazah Covid-19.

“Saya berharap dengan sumbangan kecil ini, para petugas penting di Kuala Lumpur ini mengetahui bahawa seluruh penduduk Segambut sentiasa di belakang mereka, lebih-lebih lagi tugas ini amat mulia apabila memudahkan urusan jenazah dan keluarga-keluarga mangsa,” kata Hannah.

28 orang petugas di Kuala Lumpur ini telah 19 hari membantu pengurusan kubur Bukit Kiara, Hospital Kuala Lumpur dan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menguruskan jenazah Covid-19 di sekitar Kuala Lumpur dengan waktu bertugas sekitar dua jam daripada 6:00 petang sehingga 8:00 malam. – Roketkini.com