Rencana

Persidangan DUN Johor: Mencari solusi rakyat dan politik negeri

Oleh Fakhrurrazi Rashid 

(Koordinator penyelidik Research for Social Advancement (REFSA).

Dewan Negeri (DUN) Johor akan mula bersidang pada 12 Ogos 2021 setelah mendapat pekenan DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan İskandar.

DUN Johor antara badan perundangan negeri yang terawal bersidang selepas tempoh darurat tamat pada 1 Ogos yang lalu.

Setelah tempoh darurat tamat dan kes pandemik negara masih tidak menentu, persidangan DUN Johor penting untuk wakil rakyat Johor memikirkan solusi tepat bagi menangani pandemik dan membina ekonomi negeri yang berdaya tahan.

Hakikatnya, kes Covid-19 di Johor masih tinggi. Kadar keberjangkitan Covid-19 di Johor berdasarkan kiraan Nilai R naught, masih lagi tinggi iaitu 1.14 berbanding kadar nasional sebanyak 1.08, Selangor (1.08), dan Sarawak (1.04) setakat 6 Ogos 2021.

Berdasarkan statistik kerajaan negeri pada 1 Ogos, sebanyak 174 kluster aktif dilaporkan di Johor dan 57% daripadanya datang daripada sektor industri. Ini menunjukkan jangkitan wabak dalam sektor industri merupakan faktor utama kadar kes positif meningkat di Johor.

Tingkatkan kadar vaksinasi

Dalam keadaan berisiko ini, kadar vaksinasi di Johor masih lagi rendah dan perkara ini sudah berkali-kali ditegur oleh DYMM Sultan Johor agar kerajaan persekutuan meningkatkan kadar vaksinasi di Johor. Namun, kerajaan persekutuan tidak mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini.

Kerajaan negeri telah membuat beberapa tindakan untuk menambah kadar pemvaksinan di Johor.

Pertama, peruntukan RM 40 juta untuk membeli vaksin bagi rakyat Johor melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0.

Kedua, melaksanakan Program ImmuPlan untuk mempercepatkan kadar vaksinasi bagi barisan hadapan ekonomi Johor, khususnya pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura.

Melalui ImmuPlan, kerajaan negeri telah memperkenalkan Johor Vaksin-Immunisation Programme (JVIP), iaitu satu usaha mempercepatkan penerimaan vaksin kepada barisan hadapan ekonomi Johor.

JVIP telah memperuntukkan sebanyak 20,000 dos vaksin Sinovac yang akan dijual pada harga RM 350 untuk dua dos lengkap dengan mensasarkan lebih sejuta pekerja daripada pelbagai industri.

Meskipun pelbagai pelan telah dilaksanakan, kadar vaksinasi di Johor masih rendah sehingga awal bulan Ogos.

Kelemahan ini boleh diperbaiki dengan memberi ruang kepada ahli Dewan Negeri (Adun) Johor meneliti dan membahas strategi yang lebih baik, berdasarkan sains dan fakta untuk mengatasi pandemik, termasuklahh menetapkan prosedur operasi standard (SOP) ke atas sektor ekonomi agar dapat beroperasi dengan selamat dan mengurangkan penularan wabak.

Ekonomi Johor perlu berdaya tahan

Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Johor pada tahun 2020 adalah -4.6%. Meskipun KDNK Johor mencatatkan pertumbuhan negatif, tetapi ia lebih baik daripada kadar nasional iaitu -5.6%. 

Namun, krisis pandemik telah memberi impak kepada ekonomi rakyat Johor, khususnya dalam soal pekerjaan dan upah. 

Berdasarkan Laporan Sosiekonomi Johor 2020 daripada Jabatan Perangkaan Negara (DOSM), kadar pengangguran di Johor meningkat kepada 3.5% pada tahun 2020 berbanding 2.7% pada tahun 2019.

Lebih malang lagi buat graduan di Johor apabila kadar pengangguran kumpulan ini meningkat meningkat kepada 4.0% pada tahun 2020, iaitu lebih tinggi daripada kadar pengangguran negeri.

Kadar Penengah gaji dan upah bulanan di Johor juga menurun secara signifikan pada tahun 2020 kepada RM 2,124 sebulan berbanding RM 2,512 sebulan pada tahun 2019.

Bermaksud, hampir separuh rakyat Johor mempunyai gaji bulanan sekitar RM 2,200 dan ke bawah. 

Masalah-masalah ini perlu dibincangkan DUN Johor untuk membina satu strategi dan pelan ekonomi Johor yang berdaya tahan.

Kerajaan negeri perlu membentangkan status pelaksanaan dasar ekonomi negeri, PRE Ihsan 3.0 dan Belanjawan 2021 di DUN agar Adun mendapat gambaran jelas tadbir urus ekonomi negeri dan mampu memberi cadangan konstruktif kepada kerajaan. 

Ekonomi Johor perlu beralih segera daripada program kebajikan kepada membina persekitaran ekonomi yang bernilai tinggi. 

Kerajaan negeri perlu terbuka dan berani membuat pelaburan dalam sektor baharu seperti ekonomi maritim, hijau, dan digital yang mampu mencipta pekerjaan dan upah setimpal kepada bangsa Johor. Strategi ini juga penting supaya ekonomi bangsa Johor kalis krisis pandemik. 

Penentu Politik Johor

Kehadiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai Adun Gambir pada sidang DUN Johor nanti, akan menjadikan ujian awal terhadap keabsahan kerajaan PN di peringkat negeri dan persekutuan. 

Kedudukan kerajaan PN di DUN Johor hanyalah 29 orang berbanding pembangkang 27 orang, iaitu perbezaan majoriti tipis dua kerusi.

Maka, Menteri Besar Johor Hasni Mohammad tidak boleh rasa selesa dengan situasi ini, khusunya ancaman daripada Adun Bersatu yang mahu menarik sokongan kepada kerajaan PN Johor sekiranya Umno mahu menukar kerajaan di peringkat persekutuan.

Hasni Mohammad sudah menzahirkan kesediaan untuk berhadapan ujian keabsahan di DUN Johor sekiranya keadaan memaksa.

Bagi memastikan politik Johor stabil, kerajaan negeri perlu meneruskan ‘Cara Johor’ dengan melihat Adun pembangkang sebagai rakan strategi dalam tadbir urus dan dasar negeri untuk mendapat kepercayaan DUN Johor mentadbir negeri.

Walau apa pun yang berlaku, sidang DUN Johor perlu menonjolkan sikap kerajaan negeri yang terbuka dan pihak pembangkang yang menunjukkan kematangan dalam mengkritik dasar.

Apa yang rakyat mahu adalah Adun dan kerajaan negeri bersama-sama memikirkan usaha menyelesaikan isu kesihatan, politik, dan ekonomi di Johor.

DUN Johor perlu menerapkan kerjasama dwipartisan antara kerajaan dan pembangkang supaya demokrasi negeri benar-benar berfungsi untuk memberi impak positif kepada bangsa Johor. – Roketkini.com