Berita

Turunkan harga kit ujian kendiri Covid-19

Oleh Roketkini

Kerajaan terus digesa segera menurunkan harga kit ujian kendiri Covid-19 memandangkan harga semasa iaitu RM39.90 disifatkan terlalu mahal. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berkata, kit ujian itu perlu menjadi barang mampu milik untuk semua lapisan masyarakat. 

Menurutnya, ini sekali gus membolehkan mereka melakukan ujian saringan sendiri.

“Sekarang ni self test kit perlu segera di turunkan harga! RM39 terlalu mahal. 

“Tak kan benda ni Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba tak boleh selesaikan?” soalnya di laman Twitter hari ini. 

Young Syefura menambah, apabila kit ujian itu dijual dengan harga murah dan mampu milik untuk keluarga B40 sekali pun, orang ramai akan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. 

“Ya.. Kita perlu vaksin dan kita perlu kit ujian ini. Keluar mana-mana, uji dahulu, jumpa sesiapa, uji dulu. Sekurang-kurangnya ada kesedaran  (self awareness) itu,” katanya. – Roketkini.com