Berita

Jentera DAP kerja keras santuni rakyat memerlukan

Situasi Covid-19 di negara ini semakin memburuk. Angka kes jangkitan baharu dan kematian baharu akibat wabak itu semakin meningkat saban hari. 

Sebanyak 20,780 kes jangkitan baharu dan 211 kes kematian baharu telah dicatatkan semalam. Banyak sektor ekonomi masih ditutup dan natijahnya; semakin ramai hilang mata pencarian. 

Namun, ditengah-tengah masalah ini, kerajaan Perikatan Nasional masih bermain politik. 

Kerajaan PN menutup Parlimen sehingga menyebabkan ahli Parlimen tidak dapat menjalankan tugas mereka sepenuhnya — membawa suara rakyat yang dihambat wabak Covid-19 untuk didengari oleh pihak kerajaan, selain turut serta dalam merangka dasar yang menguntungkan rakyat.

Bagi Ahli Parlimen DAP, kekangan ini tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berjuang dan berbakti kepada golongan yang memerlukan. Mereka tidak jemu menghulurkan bantuan kepada setiap rakyat yang memerlukan di kawasan mereka. 

Pendek kata, di mana ada golongan memerlukan, di situ ada pemimpin DAP untuk membantu. 

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching antaranya mengambil tindakan pantas dan proaktif untuk menyerahkan sumbangan berupa barangan keperluan makanan kepada lima keluarga di Flat Temenggong yang terpaksa menjalani kuarantin. 

Di Parlimen Segambut pula, ahli Parlimennya, Hannah Yeoh menyantuni hampir 900 keluarga di Kuarters Kerajaan Dutamas dengan menyediakan pelbagai barangan keperluan asas. 

Ia adalah hasil kerjasama pejabat Hannah dan Surau Al-Mizan dekat sini serta penduduk setempat bagi membantu golongan yang memerlukan. 

Sementara itu, Adun Ketari, Young Syefura Othman, menyeru mana-mana pihak di kawasannya yang didapati positif Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin di rumah untuk menghubungi pihaknya bagi mendapatkan bantuan #BegKetariku. 

#BegKetariku adalah inisiatif pemimpin muda DAP tersebut bagi membantu golongan yang memerlukan di kawasan setempat. — Roketkini.com