Berita

Pertambah peruntukan ujian saringan – Guan Eng

Oleh B. Suffian

Kerajaan digesa mempertambah peruntukan bagi ujian saringan Covid-19 sebagai langkah pencegahan pertama, kata Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng. 

Mantan Menteri Kewangan itu berkata, kadar positif kes jangkitan negara setinggi 13 peratus berkali ganda melebihi tahap lima peratus yang dinasihatkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

“…ini membuktikan bahawa ujian saringan yang dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan sekarang tidak mencukupi dalam usaha mengawal pandemik Covid-19,” katanya semalam. 

Guan Eng menambah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan program Penang Saring Covid-19 (PSC19) di setiap kawasan dewan undangan negeri (DUN). 

Langkah itu katanya, sebagai menyedari kepentingan ujian saringan ‘cari, uji, jejak, asing, sokong dan vaksinasi (FTTIS+V) yang disyorkan oleh WHO. 

“Harga kit ujian saringan kendiri yang dibenarkan oleh Kerajaan PN untuk jual di pasaran sebanyak RM39.90 adalah terlalu mahal dan di luar kemampuan rakyat,” katanya. 

Guan Eng juga telah melawat pusat saringan bagi Pusat Khidmat kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Putih dan Air Itam. 

Program saringan tersebut memberi manfaat kepada 1,178 orang penduduk setempat. 

Mereka yang dikesan positif akan dikuarantinkan demi keselamatan awam dan diberikan rawatan yang sewajarnya. 

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, beliau berharap program saringan itu dapat mempercepatkan usaha FTTIS+V, yang merupakan strategi terbaik dalam mengawal pandemik Covid-19. – Roketkini.com