Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

PH seru penentang Mahiaddin, bersama bentuk kerajaan stabil

KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN 13 Ogos 2021

Kemelut politik dan krisis perlembagaan yang berpanjangan di bulan Merdeka ini adalah satu perkembangan yang amat menggusarkan buat seluruh negara.

Pada ketika jumlah kes aktif COVID-19 melebihi 200,000, lebih 1,000 pesakit berada di ICU, dan setiap hari kita menyaksikan beratus orang yang meninggal akibat COVID-19, serta isu pekerjaan dan pendapatan yang membelenggu rakyat, kita amat memerlukan sebuah Kerajaan yang stabil, berkesan, dan dipimpin seorang Perdana Menteri yang mempunyai keabsahan serta sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.

Walaupun setakat ini umum sedia maklum hanya 100 Ahli Parlimen menyokong Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sebagai Perdana Menteri dan 120 Ahli Parlimen tidak menyokong, namun beliau enggan meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Rakyat berharap para pemimpin politik akan dapat mencapai penyelesaian yang mampu merungkai masalah ini dan seterusnya membolehkan kepimpinan berwibawa tampil untuk membantu negara membendung penularan wabak COVID-19 dan memacu pemulihan ekonomi pasca-pandemik.

Majlis Presiden Pakatan Harapan mengulangi pendirian bahawa kami menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri. Pakatan Harapan juga tidak bersetuju untuk sebarang pilihan raya umum diadakan terutama ketika pandemik memuncak. Perlu diingatkan bahawa penggal terakhir Parlimen ke-14 hanya akan tamat pada 16 Julai 2023.

Oleh itu, Majlis Presiden menjemput semua Ahli Parlimen yang menentang dan menolak Tan Sri Mahiaddin Md Yassin untuk bersama menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri untuk membuktikan sokongan serta membentuk satu majoriti baharu di Parlimen.

Demi masa depan rakyat dan negara, semua pihak yang menentang Tan Sri Mahiaddin perlu bersama di meja rundingan sekarang untuk membentuk sebuah kerajaan yang inklusif, adil dan progresif di mana setiap parti dilayani secara adil.

Oleh itu, amatlah penting semua pihak dapat bersatu di bawah sebuah Kerajaan berjiwa rakyat yang mampu memperbetul segala kepincangan dan kegagalan Perikatan Nasional menjelang undi percaya terhadap Perdana Menteri nanti. Ini supaya sebarang pengambil alihan Kerajaan hanya akan berlaku bersama pihak-pihak yang bersetuju dengan prinsip-prinsip dan landasan perjuangan termasuk reformasi institusi, tatakelola dan urus tadbir yang baik, dan institusi kehakiman yang bebas.

Anwar Ibrahim Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Mohamad Sabu Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng Parti Tindakan Demokratik (DAP)