Berita

‘Malapetaka jika berlaku kebuntuan Perlembagaan atau naik PM teruskan kakitokrasi’

Oleh Roketkini

Angka-angka suram hasil daripada pengurusan pandemik Covid-19 yang teruk pastinya menuntut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memikul tanggungjawab dan meletakkan jawatan serta memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. 

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, langkah itu adalah untuk menamatkan salah urus (mishandling) pandemik serta krisis ekonomi yang berlaku dan untuk menyelamatkan kehidupan rakyat Malaysia. 

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan, akan menjadi malapetaka jika pengunduran Muhyiddin mengakibatkan kebuntuan Perlembagaan atau adanya seorang Perdana Menteri yang hanya akan meneruskan pentadbiran kakistokrasi kerajaan sekarang.

“Bayangkan akibat dari kebuntuan Perlembagaan selama tempoh tiga bulan, di mana kita akan menyaksikan angka-angka mengerikan dengan lebih daripada tiga juta kes Covid-19 dan lebih dari 30,000 kematian Covid-19 – yang mahu dielakkan oleh setiap rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Kit Siang yang juga veteran DAP berkata, pandemik Covid-19 adalah musuh nombor satu Malaysia. 

Menurutnya, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, wilayah atau politik mesti mempertimbangkan semua kemungkinan untuk mengawal pandemik Covid-19 agar dapat mengakhiri kejadian kematian akibat virus tersebut, ‘reset’ dan bergerak semula untuk mencapai Impian Malaysia. 

Usaha ini tambahnya, adalah untuk Malaysia menjadi sebuah negara besar bertaraf dunia menerusi pembangunan kekuatan dan kemampuan dengan menegakkan prinsip tadbir urus yang baik, kedaulatan undang-undang, pemisahan kuasa, raja perlembagaan berdasarkan demokrasi berparlimen seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Kita tidak boleh membiarkan pandemik Covid-19 terus berlanjutan dan menjadi semakin buruk. Atas sebab-sebab ini, kita mesti berfikiran terbuka mengenai perbincangan untuk mengakhiri pelbagai krisis yang dihadapi Malaysia – baik Covid-19, ekonomi dan politik,” katanya. 

Namun begitu, Kit Siang berkata, sebarang perbincangan mesti tertakluk kepada dua prinsip iaitu pertama, perlu ada satu tawaran yang merupakan satu ‘game-changer’ oleh kerajaan Muhyiddin yang boleh mengawal pandemik Covid-19. 

“Dan yang kedua, bahawa ia mesti mendapat persetujuan DAP dan Pakatan Harapan dan juga selari dengan kepentingan negara,” katanya. 

Kit Siang berkata, masih belum terlambat untuk rakyat Malaysia bersatu semula bagi memastikan bahawa Malaysia tidak menjadi kleptokrasi, kakistokrasi atau negara yang gagal.

“Kita mesti menyelamatkan Malaysia supaya kita dapat mencapai matlamat untuk menjadi sebuah negara besar bertaraf dunia.

“Tetapi hanya rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik, agama, wilayah atau politik, yang dapat menyelamatkan Malaysia,” katanya. – Roketkini.com