Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Mahiaddin ambil langkah berlandaskan perlembagaan yang betul berikutan peletakan jawatan PM

Kenyataan Akhbar Oleh Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan Di Kuala Lumpur Pada 16.8.2021.

DAP menghargai Tan Sri Mahiaddin Md Yassin kerana mengambil langkah berlandaskan perlembagaan yang betul berikutan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri setelah kehilangan majoriti parlimennya. Selama 17 bulan berkuasa, Mahiaddin ada berusaha tetapi tidak mampu menangani krisis tiga berganda pandemik COVID-19, kemelesetan ekonomi dan ketidakstabilan politik.

Perdana Menteri yang baharu menghadapi cabaran besar dan perlu melakukan tugas yang jauh lebih baik dalam menangani krisis tiga berganda ini, terutamanya demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian yang terjejas teruk akibat lonjakan jangkitan dan angka kematian COVID-19.

Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) perlu dipercepatkan untuk memastikan imuniti kelompok dicapai dengan suntikan vaksin dan bukan jangkitan, Pelan “Reset” COVID-19 dilancarkan untuk beralih dari pembendungan COVID-19 kepada mitigasi untuk hidup dengan COVID-19 dan Pelan Normalisasi Ekonomi dilaksanakan untuk meletakkan Malaysia kembali ke landasan pemulihan dengan penekanan pada pekerjaan, membuka semula ekonomi dan bantuan kewangan berkala kepada perniagaan dan penganggur.