Berita

DAP prihatin pendidikan anak-anak pelajar

Oleh Ghafar NS

Anak-anak hari ini tidak terlepas daripada menerima tempias pandemik Covid-19, dengan sesi pembelajaran yang tidak menentu menyebabkan kebanyakan mereka tercicir.

Inilah antara kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memberi kesan besar dalam hidup anak-anak pelajar, apabila menteri-menteri yang sepatutnya menggalas tanggungjawab, culas dalam menjalankan tugas mereka.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) menerusi wakil-wakil rakyatnya bersama Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) kerap menggesa kerajaan PN untuk memandang serius dan bersegera dalam sesuatu isu melibatkan pendidikan anak-anak pelajar ini.

Ketika Kerajaan Persekutuan mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0) pada bulan Mei lalu, JK Pendidikan PH segera mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjelaskan pelan persekolahan dan segerakan program vaksinasi terhadap para pendidik dan kakitangan sokongan sekolah.

Pasca “kuncitara” ini juga memperlihatkan kelembapan Menteri Pendidikan, Radzi Jidin dalam membantu melancar serta memudahkan usaha guru-guru, ibu bapa dan murid-murid meneruskan sesi pembelajaran.

Tidak henti-henti JK Pendidikan PH ini menggesa KPM memberikan insentif ‘one-off’ kepada para guru yang pasti menggunakan wang sendiri untuk membeli data dan membuat persiapan alat bantu mengajar dalam talian.

Mantan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching juga kerap kali mengeluar kenyataan media menggesa kerajaan menyalurkan segera 150,000 komputer riba yang dijanjikan dalam Belanjawan 2021 kepada anak-anak pelajar yang memerlukan.

Beliau juga tidak henti-henti mempersoal status komputer riba yang dijanjikan itu kerana begitu ramai anak-anak pelajar tercicir daripada sesi pembelajaran kerana ketiadaan alat peranti elektronik.

“Sebagai ibu, saya memahami perasaan ibu bapa yang bimbang akan anak-anak yang sukar atau lebih malang tidak dapat menjalani sesi pembelajaran atas talian seperti pelajar lain,” katanya dalam satu kenyataan pada 14 Julai 2021.

Nie Ching juga turut bersuara mempersoal kerajaan negeri Johor yang tidak menyalurkan bantuan 8,000 alat peranti elektronik yang dijanjikan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 pada bulan Jun lagi.

Selain bersuara mendesak dan mempersoal kegagalan kerajaan mengambil berat isu pendidikan anak-anak Malaysia, wakil-wakil rakyat DAP mengambil inisiatif menyalurkan alat-alat peranti elektronik semampu mereka kepada anak-anak pelajar kurang berkemampuan di kawasan masing-masing.

Sejak PKP 1.0 hinggalah ke PKP 3.0 ini, banyak permohonan alat peranti elektronik daripada keluarga yang tidak mampu dan sehingga kini, wakil-wakil rakyat DAP terus menyalurkan alat peranti elektronik kepada mereka yang memerlukan bagi tujuan pembelajaran anak-anak.

Sumbangan alat peranti elektronik ini juga tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa sumbangan pelbagai pihak yang prihatin sesama masyarakat yang kesusahan.

Contohnya pada18 Ogos baru-baru ini, ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh bersama Pejabat Adun Pasir Pinji telah menyerahkan 38 telefon pintar kepada ibu bapa di Perak Girl School (PGS) yang dapat membantu memudahkan pembelajaran dalam talian anak-anak mereka.

Awal tahun ini pula, beberapa wakil rakyat DAP turut menjalankan inisiatif memberi baucar ‘Kembali ke Sekolah’ pada anak-anak pelajar.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto antara yang aktif melaksanakan inisiatif ini di kawasannya dengan mengedarkan baucar RM100 kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk membeli keperluan sekolah anak-anak, sebelum PKP 3.0 diumumkan dan menyekat anak-anak ke sekolah.

DAP sentiasa memandang pendidikan, khususnya anak-anak bersekolah adalah suatu keutamaan dan tidak seharusnya diabaikan walaupun setiap orang bergelut dengan impak daripada pandemik ini. – Roketkini.com