Berita

Kit Siang cadang tubuh Kabinet, Parlimen Perang tangani Covid-19

Lonjakan kes Covid-19 di negara ini perlu diatasi segera dengan langkah drastik dan berkesan.

Semua parti politik yang mempunyai wakil di Parlimen harus memainkan peranan dalam menangani krisis kesihatan ini.

Justeru itu, timbul cadangan daripada pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang untuk menubuhkan Kabinet Perang dan Parlimen Perang bagi memenangi perang melawan Covid-19.

Menurut beliau, Kabinet Perang perlu melibatkan semua “kuasa politik di Parlimen” dan diketuai salah seorang daripada calon perdana menteri yang telah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong. 

“Sekiranya hanya ada dua nama untuk jawatan perdana menteri, seorang boleh dilantik sebagai perdana menteri dan seorang lagi sebagai timbalan perdana menteri untuk membentuk Kabinet Perang ini,” ujarnya. 

“Kabinet Perang tersebut perlulah mencerminkan perpaduan Parlimen untuk mengubah nasib negara kita yang sedang kalah selama 20 bulan dengan wabak Covid-19 dengan membawa dasar-dasar dan strategi baharu untuk mengawal wabak ini dan mengembalikan harapan, keyakinan, dan kepercayaan rakyat kepada satu pendekatan yang melibatkan ‘keseluruhan masyarakat’,” tambahnya. 

Jelas Kit Siang, Parlimen Perang pula perlu membentuk perpaduan negara untuk memerangi wabak Covid-19 dengan ahli Parlimen memainkan peranan di dalam pelbagai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. 

“(Parlimen Perang) Bukan sahaja untuk memerangi Covid-19, tetapi juga untuk menyediakan negara kita untuk pemulihan ekonomi dan kehidupan untuk memenuhi aspirasi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, di mana Malaysia menjadi satu ‘sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu’,” ujarnya. 

Tambah Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, Kabinet Perang dan Parlimen Perang ini perlulah dibentuk di atas batu asas Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Semalam, negara mencatatkan kemuncak baharu 22,242 kes. 

Malaysia juga telah mengatasi kedudukan Kanada dan kini berada di tempat ke-25 dengan jumlah kes tertinggi di dunia.

Untuk rekod, semasa Malaysia mengisytiharkan darurat pada 11 Januari 2021 untuk memerangi wabak ini, kita mencatatkan sejumlah 138,224 kes dan 555 kematian akibat Covid-19. 

Hari ini, kita mempunyai 1,466,512 kes dan 13,302 kematian akibat Covid-19 — satu situasi yang kini berada di luar kawalan dengan 10 kali ganda lebih banyak kes dan 24 kali ganda lebih banyak kematian berbanding dengan semasa darurat diisytiharkan. — Roketkini.com