Kenyataan Akhbar

Ismail Sabri perlu wujudkan Kementerian Kanak-kanak – Hannah Yeoh

Kenyataan Media Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh pada 22 Ogos 2021.

Ismail Sabri perlu memberi keutamaan kepada kesejahteraan kanak-kanak. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, 2020, populasi kanak-kanak di Malaysia adalah hampir 30% di kebanyakan negeri dengan Wilayah Persekutuan adalah tertinggi iaitu 38.5% (hampir mencecah 40%!). Ini adalah kumpulan yang besar dan mereka adalah masa depan kita dan aset terbesar negara. Pandemik ini telah mendedahkan dan mengesahkan akan kelemahan sistem perlindungan untuk kanak-kanak dalam negara kita. Bakul makanan yang disediakan oleh Kerajaan tidak mengandungi susu untuk bayi dan kanak-kanak kecil. Selepas hampir satu tahun lebih melawan Covid, Kerajaan Perikatan Nasional baru menyedari keperluan untuk mengenalpasti kanak-kanak yang telah menjadi yatim piatu disebabkan Covid.

Cabaran – Sebelum berlakunya Covid-19, kanak-kanak di Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan penindasan. Penderaan, gangguan seksual terhadap kanak-kanak dan pengabaian telah menjadi kesalahan yang biasa yang berlaku ke atas kanak-kanak di Malaysia. Semasa Pakatan Harapan mentadbir di Putrajaya, kami bersungguh-sungguh memberi tumpuan terhadap isu-isu yang berkaitan dengan kanak-kanak disebabkan ketidakupayaan mereka untuk melindungi diri sendiri sehingga menyebabkan mereka selalu teraniaya. Kami telah melantik Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang pertama, melancarkan Sistem Semakan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, memperuntukkan geran bagi penubuhan Taska di Tempat Kerja di Sektor Awam, melancarkan infografik untuk pengasuh dan ibu bapa, berkerjasama dengan Google menerbitkan video kempen kesedaran mengenai sentuhan selamat dan tidak selamat untuk kanak-kanak, menyediakan WhatsApp Talian Kasih bagi memudahkan pelaporan dan pelbagai inisiatif lain bagi meningkatkan keselamatan kanak-kanak.

Inisiatif Yang Telah Dimulakan – Semua inisiatif di atas memerlukan sumber dan tenaga kerja yang berdedikasi dalam memberikan perlindungan kepada kanak-kanak. Sebagai contoh, kami telah melancarkan kajian untuk menubuhkan sebuah Agensi Kanak-Kanak dan kajian penambahan Pelindung Kanak-Kanak di seluruh negara berbanding 208 orang pada masa itu. Seorang Pelindung Kanak-Kanak mengendalikan sehingga 80 kes kanak-kanak sehingga menyukarkan mereka melakukan tindakan susulan. Nisbah seorang Pelindung kepada kanak-kanak adalah 1:45,142 dan mustahil mereka dapat melindungi kanak-kanak dengan lebih berkesan. Selain itu, terdapat perbincangan awal yang dilakukan untuk menstruktur semula Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak (ECCE), mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mempermudahkan prosedur kewarganegaraan melibatkan ibu warganegara Malaysia, proses pengangkatan, penjagaan anak angkat dan perkongsian data dengan pihak Polis.

Kesimpulan – Kesejahteraan kanak-kanak kita semakin teruk terancam ketika lockdown berterusan. Jika begitu banyak mesyuarat boleh diadakan untuk mengagihkan jawatan kepada para bakal Menteri, sudah pasti isu kanak-kanak wajar mendapat lebih perhatian. Jika Kerajaan Perikatan Nasional boleh memberikan kepada 32 Menteri dan 38 Timbalan Menteri satu portfolio setiap seorang, tentunya bukanlah sesuatu yang sukar untuk Ismail Sabri mewujudkan Kementerian Kanak-Kanak. Sudah tiba masanya Perdana Menteri Malaysia yang baharu mengutamakan isu kanak-kanak berbanding jawatan penasihat khas bertaraf menteri. Jika ianya boleh dilakukan sebelum ini untuk Hadi Awang dan Faizal Azumu, sudah tentu boleh dan mesti dilakukan sekarang demi anak-anak kita. Adalah lebih berbaloi wang hasil pembayar cukai dibelanjakan untuk anak-anak kita!

Hannah Yeoh

Ahli Parlimen Segambut